MB Selangor mahu pinda Enakmen LUAS, denda pencemar air RM1 juta
MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari mahu Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dipinda bagi meningkatkan jumlah denda pencemaran air dari RM50,000 ke RM1 juta.
Menurutnya, cadangan pindaan enakmen LUAS itu akan dibawa ke sesi Dewan Negeri Selangor akan datang.
“Pindaan enakmen LUAS supaya denda RM50 ribu dinaikkan ke RM 1 juta akan turut dibawa ke sesi Dewan Negeri Selangor kelak,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Negeri Selangor (JPK SAS) Michelle Ng Mei Sze SEBELUM ini berkata, pihaknya telah menyarankan kerajaan negeri untuk segera meminda Enakmen LUAS 1999
Katanya, sebanyak 38 saranan bentang selepas dua pendengaran tertutup dijalankan dengan Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Indah Water Konsortium (IWK) pada Mei lalu.
Michelle berkata, ketiadaan denda minimum menyebabkan individu yang melakukan kesalahan itu tidak takut seterusnya ia dilihat gagal mewujudkan pencegahan.
Beliau berkata, selain itu JPK SAS turut menyarankan agar mewajibkan hukuman penjara serta memastikan semua pesalah utama dan pesalah nominal dikenakan tindakan.
Sementara itu, Amiruddin yang baru selesai mempengerusikan mesyuarat pelaporan penuh situasi semasa isu pencemaran air berkata, menjelang tengah malam esok 50 peratus akaun bekalan air di seluruh negeri akan pulih.
Jelasnya, hospital dan pusat dialisis antara yang menjadi keutamaan supaya dalam tempoh pemulihan kesan gangguan air dapat diminimumkan.
“Selain daripada penyitaan oleh MPS serta tangkapan pihak PDRM, LUAS dengan kerjasama JAS akan turut meluaskan tracking bauan ke Sungai Sembah bagi melengkapi usaha yang telahpun dilakukan di 53 premis sekitar Sungai Gong bagi mendepani jangkaan masalah yang sama daripada berlaku di masa hadapan.
“Pihak PDT Gombak akan turut mengeluarkan Notis 7A supaya pihak kilang mengosongkan premis serta merta, setelah operasi mereka dihentikan sejak Khamis lalu,” kata Amiruddin.-SM