Rencah Hidup

Masjid Pekan Dengkil dirobohkan

Oleh HASYIR AFHAM

PILU, hiba dan sedih. Tiga perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan kesedihan penduduk di sekitar kawasan pekan Dengkil, Selangor apabila beberapa struktur binaan Masjid Jameatus Solehah bakal dirobohkan sepenuhnya.

Difahamkan, sebahagian tapak masjid itu dibina atas kawasan persendirian yang kemudiannya dibeli oleh pihak pemaju bagi membangunkan projek perumahan di kawasan tersebut.

Penduduk bagaimanapun akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan baru-baru ini bagi memberi laluan pembangunan kepada pemilik tanah projek tersebut.

Bagaimanapun sebagai penduduk yang membesar lebih tiga dekad di kawasan itu yang juga merupakan bekas wartawan Utusan Malaysia, Siti Ainiza Kamsari, 50, beliau tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila kerja-kerja merobohkan kawasan tandas dan kolah masjid sudah dimulakan.

Malah, tinjauan wartawan SUARA MERDEKA mendapati, pihak pemaju sudah menandakan dengan tanda merah di ruangan solat bahagian luar masjid yang akan dirobohkan secara keseluruhannya dalam masa terdekat.

“Kami akur dengan situasi ini sebab pembinaan masjid difahamkan atas tanah orang yang memberi izin untuk rumah ibadat umat Islam ini dibina.

“Walau bagaimanapun, mungkin selepas beberapa tahun tanah itu dibeli oleh pihak pemaju,” luah Siti Ainiza ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi seorang pesara, Zainul Ariffin, 61, dia tidak mendapat maklumat jelas mengenai pengambilalihan tanah itu dan isu tersebut sudah berlarutan sejak 2005 lagi.

“Binaan tambahan masjid ini katanya atas tanah orang. Kami tidak dapat info (maklumat) jelas mengenai hal itu, yang pastinya ada isu status tanah.

“Walaupun tidak mengganggu keseluruhan masjid namun ada bahagian yang sudah ditanda, kira-kira suku daripada kawasan masjid sampai ke bilik stor dan bilik mayat.

“Sepatutnya tanah untuk masjid baru sudah ada di belakang pasar tetapi sudah lama sangat sejak dari 2005 sampai sekarang pun kita tidak tahu apa masalahnya,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan masjid yang enggan dikenali berkata, masjid yang terletak di persimpangan lampu isyarat itu aktif dengan program keagamaan dan menyantuni golongan remaja dan belia.

“Masjid ini merupakan kawasan yang strategik dan musafir juga akan singgah untuk menunaikan solat. Kami memerlukan masjid baharu kerana sekarang hanya mampu memuatkan 1,500 jemaah dalam satu masa.

“10 tahun lepas janji masjid baharu pun tidak dibina, kalau dicadangkan dua tingkat bagi saya tidak sesuai sebab padat dan sempit,” kata beliau.

Difahamkan kenderaan jentolak sudah merobohkan kawasan kolah dan bilik pengurusan jenazah berikutan notis yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk merobohkan beberapa binaan tersebut kelmarin (20/8-khamis). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button