Mane dinobat sebagai Pemain Terbaik PFA
PEMAIN Liverpool, Sadio Mane dimahkotakan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola sepak Profesional (PFA) Musim 2019/20, hari ini.
Bintang sayap antarabangsa Senegal itu menikmati kempen yang cemerlang bersama pasukannya selepas mereka merangkul gelaran domestik buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Mane yang memainkan watak penting dalam membantu kejayaan The Reds, menjaringkan 18 gol dan menyempurnakan tujuh bantuan untuk saingan Liga Perdana Inggeris.
Sebahagian daripada jaringannya amat penting bagi membantu kelancaran kempen Liverpool, termasuk gol yang dilakarnya sewaktu menentang Aston Villa, Norwich dan West Ham.
Pemain berusia 28 tahun itu turut dicalonkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan di samping dua rakan sepasukannya
Jordan Henderson dan Trent Alexander-Arnold turut disenarai pendek untuk merebut anugerah itu, tetapi ketiga-tiga mereka diberi tentangan hebat oleh bintang Manchester City, Kevin De Bruyne.
Kapten Liverpool, Henderson telahpun memenangi anugerah Pemain Terbaik Persatuan Penulis Sukan.
Karier Mane telah mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa sejak perpindahannya bernilai 36 juta pound (RM197 juta) ke Anfield dari Southampton pada 2017.
Mengulas mengenai pemainnya itu, bos Jurgen Klopp, bulan lalu berkata: “Saya masih ingat pemain yang cukup berbakat kami beli dari Southampton.
“Pada ketika itu, dia seorang pemain yang berbakat besar, cuma dia kurang konsisten sehingga menyebabkan orang beranggapan, benarkah, dia semahal itu? Anda saksikan perlawanan yang salah!.
“Mungkin orang berfikir saya tidak tahu tentang nilainya, tetapi kami 100 peratus pasti.
“Aksi yang konsisten adalah kuncinya dan sudah tentu kini dia berada pada tahap tersebut. Kualiti permainan yang dipamerkannya memang luar biasa.”
Mane kini memulakan persiapan untuk musim depan selepas menyertai rakan sepasukannya yang lain menjalani kem latihan pra-musim di Austria.
Klopp gembira memiliki pemain berbakat seperti Mane, yang disifatkannya sebagai berkelas dunia. – Mirror UK – SM