Bola SepakSukan

Koeman dilaporkan media Sepanyol ganti Setien

KEKALAHAN memalukan Barcelona di tangan Bayern Munich telah menjadikan keadaan di kelab itu semakin kecoh dengan media Sepanyol, hari ini memberi fokus kepada laporan siapakah yang bakal menjadi pengganti Quique Setien dan potensi kepulangan Neymar.

Beberapa akhbar melaporkan pengurus Belanda, Ronald Koeman dikatakan bersedia menggantikan Setien, yang dipecat selepas hanya lapan bulan menerajui kelab itu.

Tajuk berita utama Mundo Deportivo mendedahkan bekas pemain Barcelona, Koeman akan kembali ke Nou Camp dan turut melaporkan maklumat terperinci mengenai kontraknya sedang dimuktamadkan selepas berunding dengan Persatuan Bola Sepak Belanda.

Koeman dikatakan akan menandatangani kontrak selama dua tahun dan sebarang perjanjian jangka panjang bergantung kepada keputusan pemilihan presiden, tahun depan.

Muka depan akhbar Sepanyol, Sport pula melaporkan Setien dipecat selepas kekalahan memalukan 8-2 pada suku akhir Liga Juara-Juara, Sabtu lalu.


Mereka berkata, Koeman dan bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino merupakan dua calon pilihan bagi mengisi jawatan pengurus tersebut.

Namun apa yang lebih menarik, Sport turut melaporkan tentang potensi kepulangan Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG).

Bintang Brazil itu telah lama dikaitkan dengan kepulangannya ke Nou Camp dan Sport mencadangkan terdapat kemungkinan kelab itu mensasarkan untuk memulihkan reputasi pasukan.

Dalam usaha untuk memenuhi tuntutan PSG mengenai harga yang tinggi buat Neymar, Barcelona dilaporkan bersedia menjual Antoine Griezmann ke kelab Perancis itu, dengan harga sekitar 55 juta pound (RM301 juta).

Sementara itu, Diario AS pula turut melaporkan Koeman sebagai pengganti Setien dan berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha merombak kembali skuad Barcelona.

Tujuh pemain daripada pasukan utama bakal dijual, pemain-pemain berkenaan terdiri daripada Ivan Rakitic, Ousmane Dembele, Arturo Vidal, Arthur Melo, Junior Firpo, Martin Braithwaite dan Samuel Umtiti.

Melo telahpun bersetuju menyertai Juventus, sementara Rakitic dan Vidal turut dikaitkan dengan kelab-kelab Itali.

Barcelona berharap dengan penjualan tersebut, kelab itu akan dapat mengumpul sekitar 90 juta pound (RM493 juta) bagi merombak pasukan yang dibelasah Bayern dan buat pertama kali, menamatkan musim tanpa sebarang trofi sejak musim 2007/08. – Daily Mail UK – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button