Parti baharu: Belum ada nama, Tun M pengerusi, Mukhriz presiden
PARTI baharu yang bakal ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan anaknya Datuk Seri Mukhriz akan dilantik sebagai presiden manakala Ahli Parlimen Langkawi itu sendiri akan menjawat jawatan pengerusi.
Dalam sidang medianya hari ini, Dr. Mahathir berkata, pihaknya masih mencari nama yang sesuai untuk parti yang akan ditubuhkan itu.
“Belum tentukan nama, kita perlu rujuk pada ROS, Harap ROS tak halang nama yang akan dipilih,” kata Dr. Mahathir dalam sidang akhbar sebentar tadi.
Jelas Dr. Mahathir parti baharu itu akan ditubuhkan secepat mungkin dan akan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Menurutnya, parti yang ditubuhkannya itu tidak akan bergabung dengan mana-mana pihak sama ada Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan. Parti baharu itu akan menjadi sebuah parti bebas dan akan bertanding dalam pilihan raya menggunakan simbol sendiri.
“Kita akan daftar secepat mungkin. Kita akan bertanding dalam pilihan raya. Perlu ada satu simbol. Kalau tidak daftar sukar dan akan menggunakan simbol berlainan. Kita perlu daftar supaya dapat menggunakan simbol sama,” kata Dr. Mahathir.
Keputusan penubuhan parti baharu itu dibuat susulan mahkamah membenarkan permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga untuk membatalkan saman yang difailkan Dr Mahathir dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dengan membenarkan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi defendan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Rohani Ismail memutuskan bahawa Dr Mahathir dan lima lagi plaintif tidak mempunyai lokus standi untuk mengemuka tindakan undang-undang terhadap defendan.
Menurut Dr. Mahathir, walaupun pernah mengkritik terlalu banyak parti Melayu namun pihaknya terpaksa menubuhkan parti baharu untuk orang-orang Melayu dan pribumi selepas UMNO, Bersatu dan Pas tidak lagi berjuang pada landasan yang betul.
“Kenapa kita ada empat (parti Melayu) sebab UMNO, Pas dan Bersatu sudah lari daripada perjuangan asal berkenaan politik Melayu. Sebab itu kita mesti teruskan perjuangan dengan parti baru,” kata Dr. Mahathir.
Menurut Dr. Mahathir, perjuangan parti baru itu berasas semangat, bukan duit dengan asas perjuangan adalah untuk menghapus rasuah dan kleptokrasi.
Dr. Mahathir yakin parti baru itu akan mendapat sokongan ahli akar umbi yang kini menggunakan logo ‘Bersatu Blackout’.-SM