Oleh: ABDUL SHUKUR ABDULLAH
SEBUAH keluarga boleh didefinisikan sebagai satu unit yang mempunyai struktur tertentu terdiri daripada perhubungan perkahwinan yang sah dan ikatan pertalian darah. Setiap keluarga mempunyai set peraturan tersendiri dan biasanya ditetapkan oleh kedua ibu bapa.
Set peraturan keluarga ini tidak semestinya sama namun matlamatnya adalah satu iaitu untuk membentuk sebuah keluarga bahagia. Namun ada juga keluarga yang gagal mencapai matlamat itu kerana kurangnya ilmu berkaitan kekeluargaan.
Keluarga adalah tulang belakang kepada seseorang yang akan sentiasa menjadi tonggak kekuatan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran hidup. Setiap keluarga perlu mempunyai matlamat membina keluarga bahagia yang mempunyai hubungan positif, tenang dan senang antara satu sama lain. Menurut pandangan Islam, keluarga bahagia mempunyai gabungan elemen seperti iman, amal, akidah, ilmu, niat, akhlak, sosial, amanah dan keselamatan fizikal.
Oleh itu bersempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2019, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalankan satu kajian tinjauan pendapat berkaitan hubungan kekeluargaan dan keterlibatan keluarga dalam komuniti.
Tinjauan melibatkan sejumlah 1,308 orang responden warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Tinjauan ini telah dijalankan dari 24 Oktober hingga 5 November 2019 dengan menggunakan kaedah tinjauan di atas talian.
Kajian itu meliputi topik Hubungan Kekeluargaan serta Keluarga dan Keterlibatan Dalam Komuniti.
Hubungan Kekeluargaan
Kajian mendapati rakyat Malaysia menghabiskan masa lima jam dan 28 minit dari Isnin hingga Jumaat bersama keluarga, manakala 12 jam dan 23 minit pada hari Sabtu dan Ahad.
Ini menunjukkan masyarakat harı ini semakin mementingkan keluarga dan ia satu perkembangan yang positif khususnya melibatkan keluarga muda yang akan membentuk negara pada masa handapan.
Aktiviti yang dilakukan pada masa lapang bersama keluarga adalah paling tinggi iaitu 56.7 peratus berehat bersama keluarga, dengan diikuti 49.7 peratus keluar makan bersama, 33.3 peratus bersiar-siar, 17.4 peratus membeli-belah, 10.4 peratus bersukan, 10 peratus melancong, 7.5 peratus menonton wayang dan hanya 1.1 peratus menyertai program sukarela.
Dari segi menghabiskan masa dengan keluarga menunjukkan peningkatan, tetapi kajian juga mendapati masa berkenaan tidak digunakan secara positif kerana majoriti memilih untuk berehat dan keluar makan-makan, bersiar-siar dan membeli-belah. Ini juga mungkin ada kaitan dengan gaya hidup masyarakat hari ini gemar keluar makan dan membeli-belah di tempat yang ditularkan di media sosial.
Jika terdapat restoran atau gerai yang ditularkan menyajikan makanan yang lazat ramai berpusu-pusu untuk menikmatinya. Begitu juga jika ditularkan jualan murah di mana-mana pusat membeli-belah maka berasak-asaklah orang ramai mengambil kesempatan mendapatkan barangan pada harga diskaun.
Ini menyebabkan peratusan masyarakat yang melibatkan diri dengan aktiviti bersukan menurun dan paling rendah ialah program sukarela hanya 1.1 peratus iaitu satu petanda yang kurang baik. Apabila masyarakat terlalu banyak berehat daripada mengikuti aktiviti sihat ia akan melahirkan anggota masyarakat yang dibelenggu pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti serta penyakit yang berkaitan seperti kecing manis, darah tinggi dan pelbagai penyakit yang menjejaskan kualiti hidup serta produktiviti individu.
Data ini menunjukkan masyarakat di negara ini terlalu individualistik hanya mementingkan keluarga dan tidak gemar dengan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan.
Daripada kajian itu juga mendapati 61.1 peratus responden berpendapat tidak mempunyai cukup masa untuk keluarga, manakala 36.7 peratus berpendapat mencukupi dan 2.2 peratus lebih dari mencukupi.
Jika dilihat walaupun masa banyak dihabiskan bersama-sama keluarga, namun masyarakat masih menganggap tidak mencukupi, berkemungkinan dari segi masa berkualiti. Keletihan dan tekanan di tempat kerja menyebabkan masa lapang banyak dihabiskan untuk berehat di rumah daripada mengadakan aktiviti yang sihat seperti bersukan dan beriadah.
Dari segi purata tahap kepuasan hubungan kekeluargaan pula majoriti memilih pada tahap 8.15 peratus daripada skala 10, iaitu agak baik dan pada masa yang sama perlu dipertingkatkan lagi.
Keluarga berperanan sebagai sebuah institusi yang penting dalam menyediakan lapangan untuk melahirkan modal insan. Oleh itu, institusi keluarga perlu dikukuhkan bagi mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental, psikologi, emosi, ekonomi dan sosial kalangan ahli keluarga.
Sesebuah unit keluarga itu akan lenyap jika tidak terdapat interaksi dan komunikasi antara ahli. Walau bagaimanapun, definisi keluarga adalah subjektif kepada amalan budaya dan pegangan agama setiap individu dan masyarakat. Makna keharmonian sesebuah keluarga mungkin berbeza antara satu sama lain.
Justeru, setiap keluarga perlu mempunyai matlamat membina keluarga bahagia yang mempunyai hubungan positif, tenang dan senang di antara ahli keluarga.
Keluarga bahagia mampu membina sebuah kehidupan sejahtera yang terdiri daripada individu dengan personaliti yang positif dan gembira. Namun tidak dinafikan, terdapat pelbagai cabaran dalam usaha membina sebuah keluarga yang bahagia.
Antara cabarannya termasuklah konflik perhubungan, masalah kewangan, masalah kerjaya, masalah anak-anak, campur tangan pihak ketiga, komunikasi dan lain-lain.
Semua cabaran ini menjadi faktor penyumbang kepada tekanan dalam keluarga. Apabila sesebuah keluarga berhadapan konflik, ahli keluarga tersebut akan berada dalam keadaan yang tertekan. Suasana tekanan yang tidak sihat ini mempengaruhi emosi, psikologi dan mental seterusnya memberi kesan yang negatif. Perkara ini tidak harus dipandang sebagai kes terpencil kerana ia mungkin boleh menjadi punca kemurungan.
Keluarga dan keterlibatan dalam komuniti
Sebanyak 43.7 peratus memberi respon sebagai tidak tentu penglibatan keluarga mereka dalam aktiviti komuniti, 27.4 peratus sekurang-kurang sekali dalam sebulan, 19.2 langsung tidak melibatkan diri dan 9.6 peratus sekali dalam seminggu.
Aktiviti yang disertai oleh ahli keluarga adalah 45.3 peratus riadah, sukan dan rekreasi, 29.1 peratus aktiviti keagamaan, 26.3 peratus aktiviti gotong-royong kebersihan, 24.1 peratus menyertai gotong-royong kenduri, 20.1 peratus urusan kematian, 13.5 peratus aktiviti persatuan, 8.9 peratus aktiviti NGO iaitu pertubuhan bukan kerajaan dan hanya 8.2 peratus menyertai kegiatan rukun tetangga.
Daripada data ini memang jelas kesedaran masyarakat terhadap pentingnya aktiviti kemasyarakatan masih lagi kurang dengan lebih 19 peratus langsung tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti kemasyarakatan.
Aktiviti rukun tetangga juga semakin kurang mendapat sambutan kerana masyarakat lebih berminat untuk menyertai aktiviti yang berbentuk riadah, sukan dan rekreasi yang lebih santai mengikut hobi atau minat masing-masing.
Oleh itu, untuk menjadi aktiviti tersebut lebih sinergi dengan rukun tetangga, kegiatan sedemikian perlu difikirkan untuk dianjurkan secara bersama. Maka pada masa sama barulah diselitkan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan taman dan sebagainya.
Begitu juga jika terdapat kelab memancing, karom, surau dan sebagainya harus bersama-sama dengan rukun tetangga kerana ia adalah institusi yang diiktiraf sebagai wakil kerajaan dalam membantu mewujudkan masyarakat yang harmoni.
Sinergi dan keharmonian masyarakat akhirnya akan melahirkan penduduk yang berkualiti dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi, cakna soal kesihatan dan sekaligus dapat menangani apa jua isu setempat dan akan membanteras pelbagai aktiviti yang tidak sihat.
Kegiatan basikal lajak kalangan anak-anak contohnya, jika dilihat secara positif, rukun tetangga dan kelab berbasikal setempat boleh membantu mendidik melalui program keselamatan dan pembangunan diri. Hasilnya, tidak mustahil dapat menggilap bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa.
Kekurangan sinergi di antara aktiviti rekreasi, sukan dan riadah dengan rukun tetangga ini menyaksikan juga purata tahap kepuasan hubungan sesama ahli komuniti berada pada tahap 7.16 peratus daripada skala maksimum 10.
Kesimpulan
Kajian ini menunjukkan banyak lagi perkara yang perlu dilakukan secara bersama. Tanggungjawab mewujudkan keluarga sejahtera lagi harmoni bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semata-mata tetapi semua kementerian dan agensi di negara ini.
Lega juga rasanya kerana 63.9 peratus responden peka dan sedar bahawa sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan disambut sepanjang bulan November setiap tahun, ini menunjukkan inisiatif yang diambil oleh KPWKM melalui LPPKN menghasilkan kesan yang positif dan pada masa yang sama membantu kerajaan lebih memahami demografi dan pola aktiviti, pemikiran masyarakat dengan lebih tepat dan semasa.
Penulis adalah Ketua Pengarah LPPKN