Adibah Noor bengang akaun IG kena godam
Bulan lalu memang kecoh di kalangan selebriti tempatan apabila ada serangan daripada pihak tertentu untuk menggodam akaun mereka.
Caranya ialah dengan menyamar sebagai individu daripada Instagram dan meminta mereka menekan pautan yang dihantar di bahagian mesej untuk tujuan pengesahan dan sebagainya.
Jika ada yang menekan pautan tersebut, maka lenyaplah akaun mereka dan penggodam akan meminta sejumlah wang untuk mengembalikan akaun tersebut.
BACA> Tiz Zaqyah panik, akaun IG nyaris digodam
Hari ini, penyanyi, Adibah Noor pula menjadi mangsa penggodam hingga dia terpaksa membuka akaun Instagram yang baharu.
Menurut Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar, 50, dia mendapat mesej untuk melakukan pengesahan akaun Instagram dalam masa 24 jam untuk mengelak akaun tersebut ditutup.
“Selalunya saya akan peka dengan perkara sebegini tetapi apakan daya, tiba-tiba saya terpedaya.
“Sekarang, semua kenangan melibatkan gambar di dalam akaun tersebut semuanya sudah hilang,” katanya di Twitter hari ini.
BACA> IG Siti Nurhaliza kena godam?
Adibah berkata, penggodam itu didapati beroperasi di Turki dan dia sendiri telah menghantar e-mel kepada penggodam tersebut.
Turut berkongsi pengalaman sama ialah pelakon, Tiz Zaqyah yang memberitahu bahawa penggodam tersebut akan meminta wang berjumlah RM2,000 untuk mengembalikan semula akaun itu.
Adibah juga memberitahu yang dia kini sudah membuka satu akaun baharu dengan menggunakan nama adibahnoormohdomar. -SM