Tun M tengoklah mana boleh ‘kerat’
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan seorang pemimpin yang lebih tahu siapa di kalangan anggota Kabinet yang perlu ditukar mahupun dikekalkan.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Tun Dr Mahathir seorang yang berpengalaman lama dalam pentadbiran negara sejak zaman Tunku Abdul Rahman hingga Tun Razak.
Justeru, kata beliau, terpulang kepada Perdana Menteri itu sendiri bagi membuat perubahan yang sesuai dan mereka layak menganggotai Kabinetnya.
“Itu terpulang kepada PM. Dia lebih tahu, dalam pengalaman dia. Dia lihat sendirilah kabinet dia. Dia lama jadi Perdana Menteri, dia (dapat) saksikan mana anggota Kabinet yang boleh menjalankan tugas, yang tak mampu menjalankan tugas, yang lemah, yang kuat dan terpulang kepada beliaulah untuk tentukan siapa.
“Sekarang ini, Tun sudah buat kenyataan, dia kata perlu (tukar) dan memang kita melihatnya, perlulah. Itu terpulang kepada Perdana Menteri untuk buat perubahan, kerana dia yang mengepalai. Dia kena cari anak buah yang sesuai dengan dia untuk menjalankan tugas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.
Katanya, PAS menyokong hasrat Perdana Menteri itu tetapi tidak boleh menentukan kerana terpulang kepada Tun Dr Mahathir sendiri.
Beliau turut membuat anologi dalam masalah kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dengan seorang doktor merawat penyakit.
“Saya tidak boleh menentukan senarai (anggota) Kabinet, itu terpulang kepada Perdana Menteri. Dia yang tahu mana yang layak dan yang tak layak.
“Dia macam penyakit, kalau kita tahu penyakit dan tak ubat sekarang. Jadi berjangkitlah. Kalau perlu pembedahan kena buat pembedahan. Kalau perlu rawatan, kena buat rawatan.
“Nampak kenyataan Perdana Menteri itu perlukan pembedahan. Dia seorang doktor dan dia tahulah, nak bedah dekat mana. Dia pula seorang ahli politik paling lama, sejak zaman Tunku (Abdul Rahman), zaman Tun Razak. Jadi, dia boleh tengoklah mana yang boleh ‘kerat’, mana yang kena ‘bedah’, mana yang kena ‘jahit’,” jelasnya.
Namun, kata Ahli Parlimen Marang itu, beliau yakin Tun Dr Mahathir mampu menyelamatkan keadaan dalam menghadapi situasi tersebut.
“Kalau lihat kepada ‘gempa’ yang berlaku itu dan kalau tengok pada merintihnya itu sakit besar. (ketawa) Penyakit besar. Tapi boleh diselamatkan, insya-Allah. Saya percaya Perdana Menteri boleh menyelamatkan keadaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY