Luar Negara

PRU Singapura: ELD nafi dakwat dalam pen khas hilang selepas beberapa minit

BERITA Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura dikemaskini oleh BERNAMA.Singapura turut tidak terkecuali berhadapan dengan penularan maklumat palsu berkaitan proses pengundian  Pilihan Raya Umum, seperti isu dakwat yang tidak kelihatan digunakan dalam pen khas.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) republik itu menyedari maklumat tidak benar itu yang tersebar dalam talian dan platform pesanan segera bahawa kertas undi dan pen khas yang disediakan untuk pengundi pada pilihan raya sudah diolah supaya tanda pada kertas undi akan hilang selepas beberapa minit.

“ELD ingin menyatakan secara tegas bahawa ini adalah tidak benar,” menurutnya dalam laman web jabatan itu.

Jabatan itu menjelaskan tanda yang dibuat menggunakan pen khas itu adalah kekal dan dakwatnya berasaskan minyak serta kalis air dan suhu.

Pen yang sama turut digunakan dalam pilihan raya di negara lain termasuk Korea Selatan, menurut jabatan itu.

Menjelas lanjut, ELD memaklumkan kertas undi yang digunakan untuk Pilihan Raya Umum itu tiada beza berbanding kertas undi yang digunakan pada pilihan raya lepas dan dicetak di bawah keadaan keselamatan yang ketat.

“Tidak mungkin kertas-kertas undi itu menjalani pengolahan tambahan di bawah keadaan yang dikawal ketat,” menurut kenyataan itu lagi.

Penggunaan pen khas itu diperkenalkan untuk membolehkan pengundi menandakan pilihan mereka dalam kertas undi dengan jelas dan mudah.

Ini berikutan maklum balas daripada pilihan raya terdahulu bahawa ada pengundi khususnya warga emas mengalami kesukaran untuk memegang pen biasa untuk menanda pilihan mereka.

ELD juga telah memaklumkan kepada pengundi bahawa mereka boleh membawa pen sendiri untuk menandakan kertas undi. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button