Nasional

Terima kasih kerajaan Malaysia bantu beri rawatan Covid-19 pekerja migran Nepal

“MEREKA semua dilayan dengan baik. Tiada sebarang laporan mengenai penganiayaan terhadap warga Nepal di Malaysia.” Demikian kata Duta Nepal ke Malaysia yang merakamkan penghargaan terhadap kerajaan Malaysia selepas 82 pekerja migrannya yang dijangkiti Covid-19, menerima rawatan di hospital Malaysia, sudah pulih sepenuhnya.

Udaya Raj Pandey berkata, pada masa ini tiada kes positif Covid-19 membabitkan warga Nepal di negara ini.

“Rawatan yang diberikan, baik. Kami berpuas hati. Mereka yang dijangkiti sudah sembuh,” katanya kepada BERNAMA.

Menurutnya, ada sejumlah pekerja migran Nepal hilang pekerjaan akibat penularan wabak itu dan kini sedang dalam proses untuk dihantar pulang.

“Terdapat 10,000 pekerja mahu dihantar balik. Kira-kira 3,000 sudah meninggalkan Malaysia,” katanya.

Beliau berharap, Jabatan Imigresen Malaysia dapat membantu mempercepatkan pengeluaran dokumen bagi membolehkan mereka balik ke negara asal.

Pandey berkata, kedutaan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia berkaitan perkara itu.

“Jika kebenaran dapat diperoleh dengan cepat, kami boleh hantar balik dengan penerbangan sewa khas. Kami sudah mengatur penerbangan dalam beberapa hari lagi,” katanya.

Ditanya sama ada kedutaan menerima aduan atau laporan mengenai penganiayaan terhadap warganya di sini, Pandey berkata, tiada sebarang laporan berhubung perkara itu diterima.

“Mereka semua dilayan dengan baik,” katanya mengenai nasib kira-kira 425,000 pekerja migran Nepal terutama yang bekerja di sektor pembuatan dan keselamatan dalam negara ini. – SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button