Kulit buku yang dilihat seperti mempersenda logo jata negara dilihat sebagai satu tindakan cuba mengganggu-gugat kedaulatan dan kemakmuran negara.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizam Abdullah Hamidi ketika membuat laporan polis berkaitan isu tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Turut membuat laporan polis ialah Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris; Pemuda Pas, Faizzudin Zai; Exco MCA Kebangsaan, Aluyis Lim dan Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, Aaathava DK.
Menurut Mohamed Nizam, tujuan pihaknya membuat laporan polis berkenaan penghinaan jata negara bukan di atas dasar politik, tetapi bersoladiriti sebagai rakyat Malaysia.
“Ini bukan soal agama atau bangsa, tetapi ini isu sensitif yang kita sebagai rakyat malaysia kena bertanggungjawab.
BACA> Hina Jata Negara menyalahi Akta Hasutan – Wanita UMNO
“Kita minta kerajaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan untuk ambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.
Sementara itu, Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papa Gomo berkata, buku itu dilihat seperti sengaja dicipta untuk menghadapi Pilihanraya ke 15.
“Buku tersebut diterbitkan pada 2019 dan maklumat awal kita mendapati naskhah itu dijual di Lazada dan Shopee.
“Ini bermakna buku tersebut memang dijual di Malaysia dan sebab itu kita mendesak supaya KDN mengambil tindakan.
BACA> Korban lembu wagyu: Ramai yang kecam, ada yang berminat
“Kita tidak mahu rakyat terpengaruh dengan propaganda untuk membenci jata negara,” katanya.
Semalam, tular gambar muka depan sebuah buku yang direka mirip dengan logo jata negara.
Lukisan itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.
Suara Merdeka juga difahamkan terdapat lebih banyak laporan polis dibuat UMNO berkaitan dengan isu penghinaan jata negara ini di seluruh negara. – SM