Mahkamah

Tengku Adnan tidak pernah bergantung pada dana politik – Saksi

Kes perbicaraan Tengku Adnan Tengku Mansor

BEKAS Setiausaha Politik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Mohd. Rafi Alli Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau telah mengambil wang tunai berjumlah RM1,013,200 daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu di kediamannya di Jalan Duta untuk kegunaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016.

Mohd. Rafi, 42, yang kini merupakan seorang usahawan berkata, duit yang diambilnya itu kemudiannya diserahkan kepada Pengarah Jentera PRK Sungai Besar pada ketika itu, Datuk Rizalman Mokhtar di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Lebih kurang dua atau tiga hari selepas mesyuarat dengan Datuk Rizalman di PWTC (berhubung bajet dan strategi PRK Sungai Besar), saya sendiri mengambil wang berjumlah RM1,013,200 secara tunai daripada Datuk Seri Tengku Adnan di kediamannya.

“Dan sumbangan kewangan untuk PRK itu adalah daripada Tengku Adnan secara peribadi,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan pada prosiding membela diri Tengku Adnan terhadap pertuduhan menerima rasuah RM2 juta.

BERNAMA melaporkan, Mohd. Rafi ketika membacakan penyataan saksi berkata, Tengku Adnan tidak pernah bergantung kepada dana politik daripada Ibu Pejabat UMNO.

Dan sekiranya UMNO Wilayah Persekutuan memerlukan dana politik, ujar Mohd. Rafi, Ahli Parlimen Putrajaya itu secara peribadi memberi wangnya sendiri atau daripada derma politik.

Berkenaan PRK Sungai Besar, saksi kedua pihak pembelaan itu juga berkata, Tengku Adnan telah melantik Rizalman sebagai Pengarah Jentera PRK Sungai Besar lebih kurang seminggu sebelum hari penamaan calon PRK tersebut.

Sebagai rekod, Mohd. Rafi yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Tengku Adnan dari Januari 2014 sehingga 8 Mei 2018 berkata, pada mulanya bajet yang dicadangkan untuk PRK Sungai Besar berjumlah RM1.3 juta.

Namun, kata Mohd. Rafi, selepas mesyuarat yang beliau hadiri bersama dengan Tengku Adnan dan Rizalman, jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM1,013,200. – SM

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button