Politik

Pemilihan Mohd. Shafie sebagai PM masih celaru

PEMILIHAN Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH) masih celaru.

Ini kerana pengumuman yang dibuat Tun Dr. Mahathir Mohamad dipercayai masih belum mendapat persetujuan peringkat pimpinan parti komponen PH dalam memutuskan cadangan yang disebut sebagai ‘pilihan ketiga’.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang memaklumkan cadangan itu akan dibincangkan di peringkat pimpinan PH terlebih dahulu.

Menurut mereka, cadangan yang disifatkan sebagai baharu itu perlu dibincang dan diputuskan menerusi Majlis Presiden PH.

Ini bermakna, belum pun wujud persetujuan dalam kalangan pimpinan tertinggi PH, walaupun pemilihan Shafie itu berpotensi meraih sokongan penyokong dan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak.

BACA > Ariff, Kor Ming disingkir dari kerusi Speaker, Timbalan — Suara Merdeka

“Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen baharu untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat.

“Walau bagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu.

“Seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk diputuskan bersama.”

Demikian kata Guan Eng dan Mohamad Sabu seperti dipetik portal MalaysiaGazette hari ini berhubung cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Berdasarkan cadangan tersebut, Dr. Mahathir turut menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta anaknya Datuk Seri Mukhriz masing-masing untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Bagaimanapun, menurut Guan Eng dan Mohamad Sabu lagi, pengumuman Dr. Mahathir adalah tidak rasmi.

Menurut mereka, cadangan itu dikemukakan dalam pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen di Rumah Tetamu Sabah pada dua hari lalu.

BACA > Syafie PM, Anwar TPM 1, Mukhriz TPM 2 hanyalah sebagai pilihan — Suara Merdeka

Namun, dalam perkembangan lain, DAP Sabah menyatakan sokongan terhadap pemilihan Mohd. Shafie sebagai Perdana Menteri ke-9.

Malah, mereka turut mahu Ahli Parlimen dari Borneo termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong pemilihan Ketua Menteri Sabah itu.

“Bersama Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri, kami dapat mencapai dua tujuan dengan satu tindakan.

“Malaysia Timur dapat menerajui dasar persekutuan dan pada masa yang sama mengembalikan hak negeri Sabah dan Sarawak.

Tambah mereka, pemilihan Mohd. Shafie dikatakan bakal membolehkan Sabah dan Sarawak mendapat keuntungan dengan lebih banyak pembangunan.

Malah mereka turut bertanggapan dengan pemilihan Ahli Parlimen Sempoerna itu dapat memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

BACA > Hamzah enggan dedah butiran pertemuan dengan Anwar — Suara Merdeka

“Ini akan membolehkan Sabah dan Sarawak dapat memperoleh keuntungan daripada lebih banyak pembangunan dan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di sini,” ujarnya lapor portal Malaysiakini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button