Politik

PRK Chini: Jika menang, kejayaannya pertama buat PN

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan menjadi manifestasi kesinambungan kejayaan gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

Malah kemenangannya nanti disifatkan akan menjadi yang pertama buat PN.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon yang diketengahkan BN bagi PRK Chini iaitu Mohd Sharim Md Zain merupakan calon pertama yang mewakili PN.

“Sebelum ini kita menang (lima PRK sebelum ini) dengan bergaya atas Muafakat Nasional dan atas semangat penyatuan ummah.

“Tetapi kali ini kita mahu melihat bahawa PN walaupun (ia) belum berdaftar secara rasmi namun semangat PN ini diterjemahkan sebagai kesinambungan kejayaan PRK yang lalu,” katanya.

BACA > Dr. M letak Azmin dalam Kabinet untuk lebih porak perandakan PKR — Suara Merdeka

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas makan tengah hari bersama masyarakat Kampung Bukit Udang dekat sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama-sama Menteri Besar Pahang DatuK Seri Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Tasik Mentiga dekat sini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata pemilihan Mohd Sharim dilihat berupaya membawa suara anak-anak muda dan peneroka Felda sekiranya diberikan mandat.

“Saya yakin beruntunglah generasi Felda di Chini kalau memberikan amanah kepada Mohd Sharim sebagai pilihan pertama dan beroleh kejayaan cemerlang (sewaktu pengundian) PRK Chini, 4 Julai nanti,” katanya.

UMNO dan BN telah memenangi lima daripada 10 PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 .

PRK DUN Chini yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lepas akibat serangan jantung, menyaksikan calon BN daripada UMNO Mohd Sharim, 41.

Beliau ditentang dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

BACA > Singapura, Malaysia setuju buka pintu sempadan — Suara Merdeka

DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama di negara ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. – BERNAMA

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button