Pemain muda perlu bukti kemampuan – B. Sathianathan
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan tidak teragak-agak untuk membawa pemain muda ke kesebelasan utama pasukan Selangor jika mampu membuktikan kemampuan masing-masing.
Malah, Indra (Indra Putra Mahayuddin), Shukor (Muhammad Shukor Adan) dan Hairuddin (Hairuddin Omar) dan ramai lagi pemain muda antara yang pernah diberi peluang oleh Sathianathan.
“Cuma kemampuan sebenar ketika berada di atas padang itu kena tonjolkan dan bukan hanya sekadar nama sahaja.
“Saya sentiasa bersifat terbuka dalam memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi tetapi pemain itu harus ‘membeli’ kepercayaan saya terlebih dahulu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Terdahulu, dua pemain muda Selangor 2 termasuk penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin dikatakan berpeluang diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor musim ini.
Menurut Sathianathan, dia kini menunggu laporan Michael (Michael Feichtenbeiner) ketua jurulatih Selangor 2 dan berdasarkan laporan serta pemerhatiannya, lima orang pemain sudah menjadi pilihan.
Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, kapten skuad B-18 negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi antara seorang daripada lima pemain muda Selangor 2 yang berada dalam radarnya.
Peluang Luqman Hakim yang dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran menyertai pasukan Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, selain dilaporkan dirisik beberapa kelab Eropah, untuk diserapkan ke dalam skuad utama Selangor tampak cerah jika beliau cemerlang dalam kempen Liga Premier bersama Selangor 2.
BACA> Inilah masanya kami menang EPL – Salah
Menurut Sathianathan, pemain muda perlu mencabar diri untuk membuktikan kemampuan merebut posisi yang kebiasaannya diisi pemain import jika mengintai peluang menembusi barisan pemain utama.
“Jadi ramai ada peluang, tetapi kena tunjuk. Jangan atas nama saja, pemain kena tunjuk aksi dalam padang untuk saya serap bersama Selangor. Tidak kira sesiapa pun, kalau Selangor 2 ada pemain tua pun saya boleh ambil kalau dia beraksi dengan baik.
“Istilah pemain muda kalau dia sekarang berumur 18 atau 19 dia bukan muda lagi, tetapi apa yang buat saya masukkan seseorang berbakat tinggi itu dalam pasukan…adakah dia lebih baik daripada pemain import yang kita ada di posisi itu. Kedua, adakah dia menyinar bersama Selangor 2?,” jelasnya.
Selangor kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut di permulaan musim dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan dua seri dalam empat aksi pertama Liga Super. -SM