Ketua Pemuda DAP harap Tun M terus memberi kepimpinan
KETUA Pemuda DAP (DAPSY) Howard Lee berharap bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terus memberi kepimpinan kepada semua.
Menurut beliau, Dr. Mahathir membuktikan ketaatan kepada sahabat dengan tindakan pengorbanan, serta mempertahankan kawan ketika berdepan dengan musuh dan pengkhianatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji itu berkata, Dr. Mahathir tetap tenang memancarkan senyuman
walaupun dilemparkan pelbagai tohmah dan berhadapan dengan cabaran susah.
“Walaupun beliau tidak sependapat, dan ketahui tidak akan mencapai kesepakatan; beliau tetap memberi ruang bagi semua untuk meluahkan segala yang terpendam.
“Beliau-lah yang tidak pernah meragu-ragu menyanggah musuh dengan sindiran berbisa, tetapi sentiasa secara yakin dan bersopan.
“Beliau-lah yang tidak sembang kencang kepada khalayak berkenaan prinsip dan setiakawan saban tahun, tetapi pada saat-saat getir dan genting menunjuk belang menentang rakan,” kata Howard.
Menurutnya, adalah mustahil untuk beliau bersetuju dengan kesemua pemikiran Dr. Mahathir namun adalah mustahil juga untuk tidak bersetuju.
Howard bertemu Dr. Mahathir semalam dua jam semalam untuk membincangkan hal-hal warga bangsa Malaysia, keadaan politik dan ekonomi negara, perkembangan dunia terkini dan realiti baru yang bakal menjelma.
“Moga Tun terus memberi kepimpinan kepada kita. Semoga kita terus pegang kepada kekitaan ini yang luar biasa dan istimewa. Thank you, Tun,” kata Howard.
Dr. Mahathir kini menjadi tumpuan selepas kepimpinan dalam Pakatan Harapan Plus berbeza pendapat mengenai siapa yang layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-9 sekiranya mereka berjaya mengambil alih kerajaan.
Semalam Ahli Parlimen Simpang Renggam dari Bersatu, Dr. Maszlee Malik berkata, tanpa Dr. Mahathir peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.
BACA Tak harus PM-9 jadi hak mutlak Anwar
BACA Jawatan PM-9 juga bukan hak mutlak Dr. Mahathir
Beliau juga berkata, rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) haruslah tidak dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri adalah hak mutlak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rundingan untuk ambil semula kerajaan daripada PN dan memilih Perdana Menteri ke-9 haruslah tidak dengan keyakinan bahawa PM ke-9 adalah hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor.
“Hakikatnya jelas, tanpa Tun Dr Mahathir, peluang untuk mengambil semula kerajaan pun sangatlah tipis bahkan mustahil.
“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” kata Maszlee.
Kenyataan Maszlee itu disindir oleh Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berkata, jawatan Perdana Menteri ke-9 juga bukan hak mutlak Dr. Mahathir.-SM