RM35 bilion 40 inisiatif rangsang ekonomi jangka pendek
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hari ini mengumumkan peruntukan RM30 bilion ringgit bagi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana bagi merangsang semula ekonomi dalam jangka masa pendek.
Pelan tersebut merangkumi 40 insitiatif yang meliputi tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.
“Dengan sejumlah 40 inisiatif yang telah saya umumkan tadi, saya berharap semua pihak termasuk sektor swasta dan orang ramai dapat memberikan kerjasama dan memainkan peranan sebaiknya.
“Saya yakin segala usaha memulih dan merangsang ekonomi yang saya umumkan pada hari ini akan meningkatkan semula keyakinan pelabur, peniaga dan rakyat seluruhnya untuk bersama-sama menjana
ekonomi negara,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas sebentar tadi.
Muhyiddin berkata, semua Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk langkah-langkah di bawah Penjana akan terus dipantau pelaksanaannya.
“Pasukan LAKSANA yang telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan akan mempertingkatkan lagi pemantauan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan. Barisan Jemaah Menteri juga akan bekerja keras untuk memberi khidmat yang terbaik buat anda semua.
“Saya berharap, usaha Kerajaan ini dapat terus memberi manfaat kepada rakyat. Contohnya seperti Encik Sugu dan Puan Pavithra yang viral di media sosial bulan lepas. Mudah-mudahan mereka dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan pada satu hari nanti. Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka,” kata Muhyiddin.-SM