Aktifkan semangat anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah
SEMUA pihak diseru supaya memainkan peranan masing-masing untuk menyebarkan maklumat tepat, mengajak dan menyuntik semangat bagi mengaktifkan kembali minat para anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah yang telah lama meninggalkan pasukan.
Tingkatkanlah keaktifan masing-masing dengan hadir kembali menjalani setiap latihan yang dijalankan oleh pihak rejimen, serta bersedialah untuk menghadiri sebarang kursus bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan sekaligus melayakkan diri supaya disokong untuk kenaikan pangkat.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Penghargaan Anggota Sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah Bersempena Operasi Penawar Covid-19’ yang diadakan di Kem Bukit Keteri, Padang Besar pada tengahari tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak bersama-sama para pegawai kanan rejimen. Hadir sama ialah Panglima Markas 30 Briged, Brigedier Jeneral Hassan Embong.
- Covid-19: Terus perkasa perairan dan perbatasan negara – Raja Muda Perlis
- Wataniah wajar bantu urus bencana – Raja Muda Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen berkenaan menitahkan bahawa penglibatan Rejimen Askar Wataniah dalam konteks Pertahanan Menyeluruh yakni HANRUH, merupakan satu elemen yang amat penting dalam pertahanan semasa aman dan juga darurat. Tugas pasukan simpanan membantu ganti, serta mengimbangi kekuatan anggota tetap telah menunjukkan hasil yang menyakinkan dengan bantuan semua para anggota yang terlibat di barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 yang melanda negara dan dunia kini.
Pada kesempatan yang sama baginda menitahkan ucapan penghargaan kepada seramai 7 pegawai dan 59 orang anggota lain-lain pangkat (LLP) yang tampil kehadapan melibatkan diri dalam pelaksanaan Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) yang bermula dari 24 Mac 2020 di bawah perintah Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia dengan penuh komited, berdisiplin dan berhemah sebagai kumpulan pelaksana, perancang dan juga sokongan.
Walaupun amat berbangga dengan kehadiran para pegawai dan anggota terbabit, namun, baginda amat bimbang kerana realitinya jurang perbezaan jumlah anggota yang melapor tersebut berbanding dengan kekuatan penuh anggota sukarela berdaftar di rejimen berkenaan seramai 93 pegawai dan 2,910 LLP adalah amat besar sekali.
Menyentuh mengenai isu yang sama, Mohamad Zaidi memaklumkan bahawa perkara tersebut akan diperhalusi oleh semua peringkat terutamanya rejimen, Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) dan juga para anggota itu sendiri bagi memastikan jumlah yang melapor bagi kehadiran pelbagai jenis latihan di masa hadapan dapat mencecah sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan. – SM