Nasional

Covid-19: Hanya 4 kawasan merah, 94.4 peratus kawasan hijau

HANYA empat atau 0.34 peratus daripada 1,178 kawasan di Malaysia kini berstatus zon merah Covid-19.

Kawasan terbabit adalah mukim Batu, Gombak, Selangor; zon Batu, mukim Batu, Kuala Lumpur; zon Kampung Baharu, mukim Bandar, Kuala Lumpur dan mukim Pedas, daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, 1,112 kawasan atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai hijau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning.

Menurutnya, kejayaan tersebut dicapai hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para
petugas barisan hadapan dan disiplin rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat dilaksanakan.

Bagi penduduk di kawasan merah, Muhyiddin menasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Bagi penduduk di luar kawasan ini, nasihat saya pertamanya jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak terdedah kepada jangkitan wabak COVID 19.

“Bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Saudara-saudari mungkin beranggapan yang saudara-saudari tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau.

“Tetapi saya nak ingatkan selalu yang virus COVID 19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas sebentar tadi.

Kata Muhyiddin, beliau bersyukur kerana kes-kes baharu COVID 19 kekal rendah dan terkawal.

Kadar kesembuhan juga katanya, tinggi iaitu, sehingga 9 Mei, seramai 4,929 atau 74.8 peratus pesakit telah sembuh.

“Saya nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan  semua petugas kesihatan yang telah bersama-sama membantu merawat kesemua pesakit ini sehingga mereka sembuh.

“Saya juga nak berkongsi satu berita baik dengan saudara-saudari. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura, Malaysia berada di tangga ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak COVID-19,” katanya. -SM

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button