Pengasas White Helmets Syria ditemukan mati
BEKAS pegawai tentera Britain yang membantu mengasaskan pasukan sukarelawan White Helmets, James Le Mesurier ditemui mati berhampiran rumahnya di Beyoglu, Istanbul dalam keadaan cedera di kepala dan kaki patah.
Mengulas perkara itu, Pejabat Gabenor Istanbul berkata, siasatan menyeluruh telah dibuat.
Dalam kejadian pada Isnin, mayatnya dijumpai berhampiran kediaman beliau oleh orang ramai yang ingin ke masjid.
Kematiannya menjadi tanda tanya kerana pembabitan beliau dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa konflik di Syria selama ini tidak disenangi regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia.
Bagi Damsyik, White Helmets adalah propaganda Barat.
Lebih meragukan tragedi itu berlaku beberapa hari selepas Kementerian Luar Rusia menuduhnya mempunyai kaitan dengan pengganas dan White Helmets itu sendiri salah satu kumpulan pengganas yang amat merbahaya.
Ketika merakamkan ucapan takziah ke atas beliau, Duta Tetap Britain ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Karen Pierce menyifatkan mendiang sebagai wira sejati dan menempelak dakwaan yang dibuat Moscow.
“Tuduhan Rusia yang dibuat Kementerian Luar bahawa beliau seorang pengintip, tidak benar. Dia bekas tentera Britain”, katanya.
Sumber yang dipetik dari Reuters pula mendakwa mangsa telah jatuh dari beranda rumah dan ia disifatkan sebagai kes bunuh diri.
Agensi berita persendirian DHA berkata pihak berkuasa mengaitkan dengan perbuatan itu kerana Le Mesurier selama ini mengambil ubat “anti-depressant” atau anti tekanan.
Jasa mendiang akan dikenang kerana bertanggungjawab mengasaskan White Helmets atau Syria Civil Defense pada 2013 bagi membantu orang awam yang terperangkap dalam konflik perang saudara di Syria.
Melalui kumpulan yang dikenali Mayday Rescue, beliau bersama rakan lain memberi latihan kepada kumpulan itu.
Bermula daripada 20 pemuda yang dilatihnya di Aleppo, White Helmets terus berkembang kepada 20 kumpulan yang terus aktif dengan kerja-kerja menyelamat dan mencari mangsa yang menjadi mangsa konflik.
“James telah mengabdikan hidup untuk membantu orang awam yang kecemasan dalam konflik dan bencana alam. Tiada tempat lain yang dapat merasa sumbangan besarnya sebagaimana di Syria”, kata May Day Rescue.