Nasional

Orang Melaka dilarang menikah hingga 31 Mac

MAJLIS akad nikah di Melaka bermula esok hingga 31 Mac atau pada tarikh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hendaklah ditangguhkan, menurut Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Dalam satu kenyataan hari ini, JAIM memaklumkan keputusan itu dibuat bagi mengelak kemudaratan lebih besar berdasarkan trend semasa peningkatan kes positif COVID-19 sehingga semalam, selain menjaga kemaslahatan jurunikah, pengantin, wali, saksi dan mereka yang terlibat dalam urusan majlis tersebut.

“Arahan ini memansuhkan Perkara 4 dalam Arahan Pentadbiran Bilangan 2/2020 Pengurusan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk sepanjang tempoh PKP bermula 18 hingga 31 Mac.

“Bagi pasangan yang mendapatkan kebenaran berkahwin sebelum ini, hendaklah memaklumkan kepada jurunikah bahawa majlis tersebut perlu ditangguhkan, dan mendapatkan tarikh baharu setelah PKP tamat,” menurut JAIM.

Kenyataan itu memaklumkan tarikh baharu majlis akad nikah hendaklah dirujuk semula kepada Pejabat Agama Islam Daerah asal yang mengeluarkan kebenaran berkahwin supaya ia dapat diselaraskan.

Jabatan itu turut mengingatkan orang awam bahawa majlis akad nikah yang diteruskan tanpa kebenaran dalam tempoh tersebut boleh disabit di bawah Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002. — BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button