
Pelaksanaan tarif 24 peratus eksport ke AS, tamparan hebat kepada Malaysia
KUALA LUMPUR 3 April – Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai pelaksanaan tarif sebanyak 24 peratus atas eksport ke AS merupakan satu tamparan hebat kepada negara.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pengenaan tarif setinggi itu akan memberi impak serius kepada beberapa sektor eksport utama negara seperti elektrik dan elektrikal, perabot dan produk kayu serta tekstil dan pakaian.
“Kesan langsung daripada kenaikan tarif ini adalah pengurangan daya saing produk Malaysia di pasaran AS, kehilangan kontrak eksport, pengecilan operasi industri dan peningkatan risiko pengangguran pekerja tempatan.
“Dalam jangka masa sederhana, ini akan menjejaskan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) negara serta melemahkan nilai ringgit serta berterusan seperti yang sedang berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa Perikatan Nasional (PN) itu berkata, walaupun kerajaan telah menubuhkan Pusat Kawalan Geokonomi Kebangsaan, namun setakat ini ia hanyalah bersifat kosmetik.
Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Machang menyifatkan penubuhan itu tidak ditampilkan strategi ampuh dalam mengawal selia risiko yang realistik terhadap perubahan geopolitik global.
“Antara kelemahan kerajaan yang ketara ialah kurang proaktif menjangka dasar perlindungan perdagangan baharu AS di bawah kepimpinan Presiden Trump, kelemahan dalam diplomasi ekonomi dengan kuasa besar dan kegagalan mempelbagaikan pasaran eksport secara agresif.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan geekonomi global di bawah Trump dan perubahan lanskap kuasa dunia, kerajaan Malaysia perlu lebih cermat dalam mempertahankan dan memperkasakan lagi entiti geoeokonomi negara khususnya institusi seperti PETRONAS.
“Ini kerana PETRONAS saban tahun telah memainkan peranan sebagai ‘ayam tambatan’ dalam melicinkan operasi, membuka lebih banyak ruang dan peluang perdagangan di luar negara.
“Yang mana kerjasama ekonomi yang dipacu oleh PETRONAS ini kadang kala berupaya memberi manfaat langsung yang mana kesannya melangkaui dan tidak terhad semata-mata kepada sektor minyak dan gas,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kepentingan PETRONAS buat negara di zaman perdagangan dan ekonomi global yang gawat ini tidak boleh dipersoalkan lagi.
“Justeru, kerajaan mesti hentikan sebarang bentuk campur tangan politik yang berlebihan terhadap PETRONAS. Autonomi penuh wajar diberikan kepada PETRONAS untuk melaksanakan perancangan pelaburan.
“(Juga) perluasan peranan PETRONAS di dalam dan luar negara. PETRONAS bukan sekadar syarikat minyak, ia adalah lambang kekuatan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.
“Melemahkan PETRONAS bermakna melemahkan posisi tawar Malaysia di meja rundingan global khususnya dalam kerjasama dua hala (bilateral) dengan negara-negara rakan dagang Malaysia,” tambahnya.
Mengambil kira situasi semasa, beliau mendesak kerajaan untuk melakukan rundingan segera dengan AS untuk pengurangan atau penstrukturan semula tarif, di samping memperluaskan pasaran eksport ke Asia Barat, Afrika dan rantau BRICS.
“Aktifkan semula hubungan perdagangan strategik dua hala (FTA) yang terbengkalai dengan negara-negara rakan dagang lain. Sediakan sokongan fiskal kepada industri yang paling terkesan dengan kenaikan tarif AS ini.
“Perkukuhkan peranan PETRONAS sebagai tunjang strategi geoekonomi negara. Kerajaan tidak boleh lagi berselindung di sebalik retorik ‘Madani’ tanpa keupayaan untuk bertindak tegas dan cekap.
“Kegagalan menangani ancaman ekonomi seperti ini bukan sekadar kelemahan pentadbiran, ia juga adalah manifestasi kegagalan kerajaan Madani mempertahankan kedaulatan ekonomi negara,” katanya.