Pendidikan

Raja Muda Perlis mengingatkan pelajar supaya tidak abaikan amanah ibu bapa

KUALA PERLIS 13 Dis. – Para pelajar perlu sentiasa diingatkan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab dan amanah daripada ibu dan bapa. Pelajar harus belajar bersungguh-sungguh dan memberi komitmen yang tinggi dalam sesi pembelajaran di dalam kelas.

Bagi pelajar secara khususnya di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang sebelum ini adalah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), mereka perlu menggunakan peluang pembiayaan pengajian melalui Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) -UniSIRAJ yang diberikan bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Pada masa yang sama masyarakat setempat dipohon supaya sentiasa turut menyertai dalam aktiviti sosial yang dijalankan oleh pihak UniSIRAJ yang bernaung di bawah MAIPs seperti program khidmat masyarakat, pembangunan komuniti, program yang melibatkan percambahan ilmu seperti daurah, forum dan sebagainya untuk kepentingan dan manfaat bersama.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis baru-baru ini.

Kayuhan amal dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis itu turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan.

Usaha ini dijalankan oleh pihak MAIPs dalam membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs kepada asnaf-asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Bahar Che Mohamad, 51 tahun, Timah Wahab, 80 tahun dan Yusnizal Yusof, 48 tahun.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM 700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button