Pendidikan

UPSI perkukuh kerjasama dengan Yayasan Perak, lantik Dr Nasreen Khanum sebagai Prof Adjung

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus meluaskan jaringan hubungan bersama pihak luar bagi memperkasakan peranannya sebagai universiti Pendidikan ulung tanah air.
Terbaharu, UPSI menjalinkan kerjasama  bersama dengan Yayasan Perak, sebuah organisasi milik Kerajaan Perak  sekali gus bakal memberi manfaat besar terhadap kedua-dua pihak dalam mencorakkan  kemajuan pendidikan di negeri ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kerjasama ini adalah pengukuhan hubungan sedia ada dengan Kerajaan Negeri Perak yang sentiasa menyokong pelbagai program UPSI.
Katanya UPSI pastinya sentiasa menyokong dan membantu merealisasikan aspirasi Yayasan Perak dalam membantu meningkatkan akses pendidikan dan latihan yang berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, melahirkan modal insan berilmu, berketerampilan, seimbang dan mempunyai kepimpinan yang tinggi serta membentuk dan meningkatkan kebolehpasaran modal insan yang kompetitif dan progresif.
Beliau berkata dengan terjalinnya hubungan baik itu, UPSI melantik Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan sebagai Prof Adjung untuk tempoh  dua tahun bermula 1 Disember hingga 30 Disember 2026.
Pelantikan itu, katanya,  berasaskan pengalaman luas dan kemahiran yang dimiliki Dr Nasreen Khanum dalam pentadbiran kerajaan.
“Dengan pelantikan Dr Nasreen Khanum itu akan memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi pengalaman luasnya  bersama UPSI menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi  (FPE).
Dr Nasreen Khanum yang  mula berkhidmat di Yayasan Perak pada November 2023  sebelum itu bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah, Kerian.
Antara jawatan penting yang pernah disandangnya termasuklah sebagai Ketua Akademik dan Perunding Kanan Latihan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); Penolong Timbalan Presiden, Projek Impak Strategik, Agensi Inovasi Malaysia, Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Penolong Pengarah Perancangan Strategik, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya berharap Dr Nasreen Khanum akan memanfaatkan segala pengalaman untuk membantu menjulang nama UPSI di arena antarabangsa.
Beliau berkata pelantikan itu juga dibuat sebagai langkah merealisasikan integrasi  antara akademik dengan profesional yang diiktiraf sebagai pakar dan berperanan dalam pembangunan akademik FPE khasnya dan UPSI  umumnya.
Katanya Dr Nasreen Khanum  akan memberi perkongsian pengalaman dan idea-idea baharu kalangan akademia dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, katanya, beliau juga akan berperanan memperkasakan hubungan kerjasama dengan pihak industri  serta institusi-institusi di luar UPSI.
UPSI juga menawarkan program pengajian bukan pendidikan seperti Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di bawah FPE yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button