Mengapa PH tumbang?
Oleh Awang Belanga
KOMENTAR
PAKATAN Harapan (PH) telah menjadi sebuah negeri tanpa telinga. Itulah sebabnya mereka akhirnya jatuh tersembam.
Setelah terhumban daripada puncak kekuasaan, mereka kini meratib telah ditikam dari belakang dan dirompak oleh kerajaan pintu belakang.
Punca utama kepada kejatuhan adalah apabila mereka memekakan telinga dan membutakan mata.
Apakah mereka selama ini tidak faham di dalam politik perbuatan tikam dari belakang adalah mainan biasa.
Untuk kekal bertahan seseorang perlu mempunyai kebolehan mengelak dan kalis tikam belakang.
Mengelak bermakna mempunyai mata dan naluri yang tajam bagi memastikan tidak menjadi mangsa tikaman dari belakang.
Jika terkena tikaman sekalipun masih mampu mempertahankan diri dan bukan tertiarap terus.
Kalis pula bererti walaupun ditikam dari belakang, tetapi kerana prestasi yang cemerlang ia menjadi kebal, apatah lagi rakyat menjadi benteng utama.
Rakyat sentiasa memberi sokongan dan dokongan dalam apa juga keadaan.
Itulah yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun dan pemimpin silih berganti, tetapi parti dan perikatan tetap utuh memerintah.
PH gagal setelah 22 bulan memerintah kerana mereka gagal mendengar apa yang dimahukan oleh rakyat.
Jika benar kerajaan PH dikasihi majoriti rakyat mengapa hanya segelintir sahaja yang turun ke jalan menyatakan bantahan bila rejim mereka tumbang?
Majoriti rakyat sebelum ini hanya bereksperimen apabila memilih PH sebagai kerajaan dan ternyata uji kaji itu gagal dengan sangat teruk.
Rakyat akan tetap menendang PH pada pilihan raya akan datang, walaupun jika mereka tidak membakar sendiri rumah tempoh hari.
Walaupun niat asal hanya mahu bermain api tetapi akhirnya rumah sendiri yang terbakar dan musnah.
Perikatan Nasional yang dibentuk hanya menyelamatkan rakyat dan negara dan menjadi rumah baharu dan bukan memasuki rumah dari pintu belakang.
Apabila PH galak bermain api, maka pihak lain bersiap sedialah dengan pelbagai pelampung dan pasukan penyelamat kerana memang rumah PH akan musnah dijilat api.
Pemimpin PH perlu bercermin melihat balik apa silap mereka dan sudah pastinya adalah kerana terlalu gemar bermain dengan api perkauman dan sensitiviti agama.
Memang dua aspek sosial itu mudah mengundang sokongan, tetapi jika gagal diuruskan akan memusnahkan diri sendiri.
BACA JUGA: Senarai penuh barisan Kabinet baharu
Kini PH benar-benar terkesima apabila melihat senarai kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Apakah ia adalah pemikiran Muhyiddin sahaja? Sudah tentu tidak. Ia adalah gabungan pemikiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Apabila Zahid dan Hadi enggan menerima jawatan di dalam kabinet ia memberi laluan mudah kepada Muhyiddin untuk menyusun menterinya.
Ini adalah kerana kedua-dua sosok itu adalah presiden parti dan kedudukan yang wajar ialah timbalan perdana menteri.
Jadi dengan memansuhkan jawatan timbalan perdana menteri ia menyelesaikan masalah berkenaan.
Kabinet Muhyiddin selain mengukuhkan Bersatu, ia juga tidak menyisihkan kawan serta lawan dan masing-masing diagih dengan saksama.
Selepas pengumuman kabinet baharu, pihak PH kini tercari-cari isu yang mahu dimainkan kerana ia benar-benar di luar jangkaan mereka.
Kini Muhyiddin dan kabinetnya boleh bekerja bagi menyelamatkan negara daripada kemelut ekonomi, politik dan perpaduan kaum.
Pada masa yang peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap besar dan penting apabila beliau terus mengetuai PH.
Dr. Mahathir perlu menjadi penjaga kandang bagi menenangkan ahli-ahli politik yang masih tidak stabil pembawakan dan pemikiran walaupun telah diberi peluang menjadi kerajaan.
Apabila mereka diasingkan di dalam satu kandang dan dikawal oleh seorang yang berpengalaman, maka kerajaan akan dapat berfungsi dengan lebih baik.
Perundangan dan penguatkuasaan negara kembali ke tangan mereka yang benar-benar layak.
Begitu juga kakitangan kerajaan bertugas secara normal dan tidak lagi dalam keadaan kebimbangan kerana lebih banyak dikuasai oleh mereka yang masuk atas dasar lantikan politik.
Ternyata Muhyiddin mempunyai telinga hingga ke akar umbi, rakyat dapat menerima dengan baik kabinetnya dan kini negara kembali di landasan yang betul.
Mungkin haiwan politik yang liar juga boleh diberi peluang kedua apabila mereka membuktikan telah jinak selepas sekitar tiga tahun lagi atau mereka akan kekal di dalam kandang dengan sebahagiannya kekal menjadi badut sarkas politik jika terus dibelenggu kebodohan.