Acara

Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang lawat ke Projek Transformasi DiRaja Seberang Ramai

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak meluangkan masa mengadakan lawatan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Turut mengiringi Beliau adalah isteri, Toh Puan Datuk Seri Utama Khadijah Mohd Nor.

Ketibaan TYT Tun dan Toh Puan disambut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Sejurus tiba, TYT Tun dan rombongan diraikan oleh warga pengurusan kampung dan dibawa melawat ke kawasan kampung dengan menggunakan kenderaan khas “Choley” yang menjadi keistimewaan kepada para pengunjung yang melawat ke kampung berkenaan.

Turut ditaklimatkan juga mengenai beberapa pembangunan dan perubahan fizikal yang dilaksanakan melalui Program Transformasi DiRaja diterajui MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama agensi kerajaan, swasta, NGO dan orang perseorangan.

Kampung Warna-Warni Seberang Ramai telah menjalani proses transformasi dari sudut perubahan fizikal melalui program kebersihan dan keceriaan seperti lukisan mural, warna cat kediaman yang ceria, pewujudan laman dan taman, pusat pembelajaran, serta kemudahan sukan.

Turut dilaksanakan adalah program-program pembangunan mentaliti masyarakat seperti latihan kemahiran, penerapan elemen kitar semula, pelaksanaan pembelajaran komuniti dan pemantapan kepimpinan masyarakat.

Selain itu, Projek Transformasi yang dicetuskan olehPemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs serta Pengerusi YTSP dan juga anakanda sulung, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail itu turut merancakkan program keusahawanan seperti aktiviti jualan, pewujudan produk berasaskan komuniti seperti makanan dan hasil laut selain turut memupuk budaya keusahawanan, perikanan dan pertanian.

TYT Tun ketika mengulas Program Transformasi berkenaan berkata, pendekatan yang dilaksanakan ini adalah merupakan inisiatif yang amat baik serta memberikan impak menyeluruh kepada para penduduk dan komuniti setempat.

“Aktiviti tambahan seperti pusat jualan produk tempatan, bahkan pewujudan pusat industri kecil dan sederhana wajar dipertimbangkan sebagai langkah memberikan nilai tambah kepada penduduk”, kata beliau.

Sebelum mengakhiri lawatan, TYT Tun dan Toh Puan turut melawat dan merasmikan “Rumah Wataniah Pulau Pinang” di kampung tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button