Pendidikan

Peluang pengajian di KUIPs kepada pelajar Namibia

KANGAR 12 Ogos – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menawarkan peluang untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) kepada 15 orang pelajar daripada negara Namibia.

Peluang pengajian dengan Biasiswa penuh (tidak termasuk tiket penerbangan) MAIPs berkenaan akan diselaraskan di bawah kendalian Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia. Para calon hendaklah layak dan mendaftarkan diri di KUIPs dalam tempoh dua tahun ini.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs ketika berkenan mengadakan lawatan ke Madrasah Al-Hidayah di bandar Windhoek sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara tersebut baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda bersama-sama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Guru Kelas dan Pentadbir Agama Masjid tersebut, Aisha Hamam Al Jassin.

Turut serta dalam delegasi Baginda ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya barsama-sama Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Madrasah Al-Hidayah menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak masyarakat Muslim di sekitar kawasan Katutra, Bandaraya Windhoek.

Baginda dan delegasi menghabiskan masa kira-kira 45 minit untuk beramah mesra dengan para pelajar Madrasah berkenaan.

MAIPs turut menyampaikan sumbangan Fi Sabilillah untuk aktiviti dakwah dan pendidikan kepada Madrasah dan Masjid Al-Hidayah Katutra itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button