Nasional

Universiti awam perlu guna garis panduan pelaburan untuk anak syarikat

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya mempertimbang pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 kepada anak-anak syarikat di bawah seliaannya.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembangunan dan penguatkuasaan garis panduan itu untuk diguna pakai semua universiti awam dilihat adalah baik.
“Dalam usaha memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pembiayaan dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173 (Akta Universiti Teknologi Mara), KPT telah menyediakan Proses Permohonan Pelaburan dan Pinjaman di peringkat UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan KPT.
“PAC berpandangan manual operasi standard yang telah disediakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh KPT dan UiTM dan dalam masa sama ia tidak terikat dengan kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PAC hari ini membentangkan laporannya terhadap tindakan susulan KPT dan UiTM bagi syor-syor laporan PAC berhubung UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB).
Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu telah mengadakan prosiding tindakan susulan pegawai pengawal ke atas syor-syor PAC Parlimen bagi Laporan PAC Parlimen pada 9 Julai lepas.
Antara saksi yang hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Dr Shahrazat Ahmad, Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UiTM Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Penolong Pengurus Besar UHSB Syed Azharuddin Al-Habshi.
“PAC mengambil maklum usaha yang diambil KPT, UiTM dan UHSB bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan serta mengikut amalan tadbir urus korporat yang baik.
“Lanjutan daripada syor-syor PAC mengenai isu dalam memastikan sistem kawal selia yang lebih efektif ke atas UHSB dan syarikat subsidiari supaya lebih menjana keuntungan dan mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan, jawatankuasa ini telah dimaklumkan dengan langkah-langkah telah diambil oleh KPT dan UiTM,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button