Nasional
Program Karisma Pemikir MADANI akan diperluas di IPT lain
Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seluruh Malaysia akan diperluas ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain selepas ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Katanya, program berkenaan bertujuan merapatkan kembali saf kepimpinan IPT, pensyarah dan pemimpin muda untuk bersama-sama menghayati hala tuju terkini pembangunan negara serta melakar sejarah negara bangsa.
Program dua hari anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UiTM itu, katanya telah mengumpulkan seramai 74 peserta daripada kepimpinan tertinggi UiTM seluruh negara dengan matlamat memperkasakan hala tuju institusi itu selaras dengan agenda Malaysia MADANI dan penghayatan Rukun Negara.
Berkongsi perkara yang ditekankan oleh beliau ketika menghadiri program itu hari ini, Zambry berkata UiTM perlu bergerak pantas seiring dengan pelbagai dimensi perubahan yang berlaku pada masa ini. – SM