Empat individu didenda RM500 setiap seorang kerana menggunakan dapur gas untuk memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, Pahang.
Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, Nurfatin Irdina Shahrulnizam, Nur Anis Salleh, kesemua 24, dan Nur Azira Azman, 23, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bentong atas pertuduhan membahayakan diri sendiri dan orang lain dengan menggunakan dapur gas di stesen minyak itu.
Majistret Nadratun Naiem Zainan memerintahkan mereka dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda RM500 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan pendakwa raya Zamharir Zuhid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan itu untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain.
Tertuduh kemudian meminta jumlah denda yang rendah, berkata mereka perlu menjaga ibu bapa dan adik-beradik mereka.
Ketika ditanya mengapa mereka menggunakan dapur di stesen minyak itu, Nurfatin berkata mereka lapar, namun mengakui mereka melakukan kesilapan.