Perlukah lebih sudu dari kuah?
JANGAN terlajak pandai kerana ada bodohnya. Apabila membicarakan soal keadaan politik negara hari ini, media sosial Facebook, Instagram dan Tweeter menjadi medium perantara untuk luahan rasa dan pandangan khalayak netizen.
Walaupun berkali-kali, bahkan mungkin berjuta kali diingatkan, setiap hantaran status yang dibuat oleh pemilik akuan sama ada di Facebook ataupun Instagram (IG) ataupun Tweeter, akan menjadi perhatian umum.
Tidak perlu untuk menulis secara keterlaluan seolah-olah diri seorang pakar undang-undang, mahir tentang Perlembagaan negara dan maha hebat dalam isu parti-parti politik dalam negara.
Akan tetapi, tidak salah mengikuti perkembangan yang berlaku kerana sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu bersikap ambil tahu tetapi apabila membuat hantaran atau komen atau memuat naik status, itu yang menjadi pokok persoalannya.
Apakah hantaran-hantaran yang dibuat di platform media-media sosial walaupun menggunakan akaun peribadi, bersifat mencari glamor dan meningkatkan lagi pengikut atau followers di laman FB, IG dan Tweeter?
Atau sememangnya hantaran yang dibuat itu mempunyai motif tertentu tanpa mengambil kira sama ada tulisan itu menyakitkan hati, bersifat provokasi ataupun mencetuskan hasutan tanpa disedari oleh si pemilik akaun media sosial?
Sedangkan wartawan bertauliah pun perlu berhati-hati dalam menulis, dalam menghasilkan penulisan berbentuk analisis dan komentar kerana penulisan yang dibaca, memdatangkan impak. Itulah sebabnya, setiap yang ditulis, si penulis perlu bertanggungjawab.
Sedikit sebanyak catatan yang dibuat akan meraih perhatian. Biarpun rational di sebalik catatan yang dibuat itu termasuk ayat cliché yang berbunyi, “FB peribadi aku, suka hati akulah” sering diguna pakai tetapi apabila status itu terbuka, IG juga terbuka iaitu PUBLIC maka ertinya sesiapa sahaja boleh ‘pick up’ dan menghantar komen.
Itu tidak termasuk berkongsi sehingga menjadi tular atau viral. Apakah itu nawaitu pemilik akuan media sosial ini?
Hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna akaun media sosial yang menggunakan akaun peribadi Noor Suhana Ishak @cek_suhana ‘dipick up’ oleh seorang pengguna Facebook, Wan Iz dan diletakkan di Facebook beliau.
Reaksi tangkap layar Tweet Noor Suhana Ishak @cek_suhana di Facebook Wan Iz mendapat 177 tanda sokongan dengan 132 komen serta 4 share.
Pelbagai komen yang dilontarkan tetapi bukan tanda like atau share atau komen yang ingin diutarakan di sini sebaliknya tweet yang dilakukan oleh Noor Suhana Ishak @cek-suhana yang menarik perhatian segelitir pengguna media sosial atau warganet atau istilahnya, netizen.
Seperti mana yang diperkatakan awal-awal tadi, akaun media sosial adalah milik peribadi dan bersifat individualistik tetapi itu tidak bermakna, tulisan yang dimuat naik tidak dibaca oleh umum termasuk Tweeter.
Fikirlah semasak-masaknya sebelum membuat tweet atau memuat naik status di platform media sosial kerana janganlah bersifat lebih sudu dari kuah.
Apatah lagi jika duduk letak perkara sebenar yang merujuk kepada keadaan politik terkini negara masih dalam teka teki. – SM