Tali tiga sepilin…Majlis Raja-Raja bertindaklah!
TIADA raja yang berdaulat, tiadalah lagi ketuanan Melayu. Tiada raja, juga tiadalah lagi keistimewaan Melayu.
Jika matlamat berpolitik seperti hari ini yang mencetuskan kemelut dan suasana cacamarba sehingga menelurkan kurangnya kedaulatan Raja-raja Melayu, Suara Merdeka pacal yang hina ini berpandangan amat elok rakyat diberi pilihan dalam menentukan pendirian mereka.
Namun dalam menyediakan proses pilihan ini, gelanggangnya biarlah neutral dan hak-hak bersuara benar-benar dikembalikan kepada rakyat.
Memerintah dengan satu versi suara sahaja seperti yang berjalan hari ini bukan pertarungan yang adil. Pemerintahan yang tidak ditegakkan pada prinsip adil akan ranap jua akhirnya.
Suara Merdeka amat berharap ke bawah duli Raja-Raja menampakkan sikap yang lebih positif dan tegas serta prihatin di atas nasib yang menimpa orang Melayu sekarang.
Apatah lagi portal ini yang didirikan tiga bulan lepas atas keprihatinan membela dan memperjuangkan orang Melayu di aras piawaian tinggi hasil inisiatif bekas wartawan-wartawan yang kehilangan kerja, cukup yakin Raja-raja berupaya menyempurnakan kehendak dan tuntutan keistimewaan, kebesaran dan kedaulatan mereka dengan menangani secara bijaksana kemelut politik hari ini.
Yang pasti, institusi raja bukan milik PKR, UMNO, Parti Bersatu, Pas, Parti Amanah Negara atau parti politik tertentu. Raja bertanggungjawab kepada seluruh rakyat.
Sama ada tindak tanduk parti politik tertentu bersifat Melayu atau bersifat lain, kata-kata adat berikut cukup menjelaskan:
Bendang diteroka,
Ruyung dibelah,
Raja bertakhta,
Rakyat menyembah.
Pendita Za’aba pernah menukilkan kata-kata hikmah ini semasa beliau di Tanjung Malim:
Tiada raja,
Tiada takhta, tiada bangsa, hapuslah ia.
Pada masa ini, Melayu apa lagi pemimpin parti-parti politik di Malaysia tanah air tercinta ini masih menghadap raja.
Menghadap itu ertinya berdatang sembah. Sembah ialah segala apa yang digerak-geri dan dilafazkan di antara raja dan warga atau rakyatnya mengikut peraturan yang adab.
Rakyat berkata, raja bertitah. Bila bertitah, ianya menjadi pegangan.
Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis dalam tahun 1935 dengan menyatakan bahawa titah Raja Melayu itu adalah seperti undang-undang dan dipatuhi oleh rakyatnya.
Dia dan Swettenham sependapat bahawa “a Malay is not quite a Malay if he does not adhere to the ways of the sultanate”.
Raja dengan agama dan rakyat adalah seperti tungku tiga sejerangan dan seperti tali tiga sepilin.
Raja dengan rakyat berpisah tiada. Ayuh! jika pelana sudah terpasang, kuda mesti ditunggang.
Semoga kemelut politik hari ini yang merugikan orang Melayu didatangi penyelesaian yang bijaksana oleh Majlis Raja-Raja.
Insya-Allah. Suara Merdeka merafak sembah. Daulat Tuanku. – SM