NasionalNegeri

Wujudkan satu sahaja gred tunggal beras putih – Gabungan Pengilang Beras Malaysia

WUJUDKAN satu sahaja gred tunggal untuk beras putih, tidak perlu lagi dilabel Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import di pasaran.

Selagi ada dua gred beras putih pada harga berbeza ini, ia tidak akan mampu menyelesaikan masalah penyelewengan jika berlaku lonjakan harga beras import pada masa depan.

Marzukhi menunjukkan sampel beras import semasa sidang akhbar oleh Gabungan Pengilang Beras Malaysia di Kilang Beras Dibuk Sdn. Bhd., di Kilometer 7, Jalan Simpang Empat hari ini.

Gred tunggal ini penting supaya sebarang manipulasi di peringkat pemborongan dapat dikekang terus, sekaligus menyelamatkan pengguna dari ditipu dengan produk beras yang dibeli.

Inilah cadangan yang disuarakan oleh Gabungan Pengilang Beras Malaysia pada sidang akhbar di Kilang Beras Dibuk Sdn. Bhd., di Kilometer 7, Jalan Simpang Empat hari ini.

Pengerusinya, Marzukhi Othman meminta supaya cadangan ini dapat didengari oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras dan juga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Dengan wujudkan gred tunggal beras putih ini sekaligus akan menjadikan industri padi dan beras negara lebih stabil dan harmoni,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, berkaitan harga pula pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

Berhubung isu masalah benih padi, pihaknya juga menyokong penuh supaya hak dan lesen pengilangan benih padi sah hanya diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (NAFAS), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) dan lain-lain.

“Pengilang benih yang dilantik ini hanya membekalkan benih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum diagih kepada pesawah,” katanya.

Beliau berkata, kaedah ini dijangka akan mampu menyelesaikan masalah manipulasi bekalan benih dan harga benih yang tidak terkawal yang dimainkan oleh pengeluar benih swasta dan peruncit.

Dalam pada itu Marzukhi berkata, pihaknya juga menyambut baik hasrat kerajaan menyemak semula harga siling Beras Putih Tempatan (BPT) ekoran kali terakhir disemak 15 tahun lalu (2008). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button