SUBAHAT dua rakan sekerja demi “duit” akhirnya terbongkar juga umpama “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”.
Inilah yang berlaku ke atas seorang Penolong Akauntan (suspek pertama) dan seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (suspek kedua) yang bertugas di Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis apabila disyaki telah menyalah guna kuasa dan melakukan penyelewengan wang sebanyak RM297,734.64.
Keduanya telah ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, petang semalam.
Berikutan itu SPRM Perlis hari ini memohon dari Mahkamah Majistret Kangar bagi menahan reman kedua-dua lelaki yang berusia 44 tahun itu.
Majistret Ana Rozana Mohd Nor telah membenarkan perintah reman selama tiga hari mulai hari ini.
Sumber SPRM Perlis berkata, dua suspek ini adalah sebagai Pelulus Sistem iSPEKS di Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis di mana telah meluluskan sejumlah besar transaksi yang sepatutnya dibayar kepada syarikat pembekal yang dilantik oleh jabatan di bawah Kerajaan Negeri Perlis.
Katanya, sebanyak 51 transaksi telah dilakukan oleh suspek pertama mulai Mac 2018 hingga Mei 2019 di mana dia telah menggunakan nombor akaun ibu mertuanya.
“Suspek pertama memang memegang kad ATM ibu mertuanya kerana ditugaskan mengambil wang pencen apabila diperlukan,” katanya.
Katanya, dari transaksi ini suspek pertama telah memperoleh lebih kurang RM247,000 dan RM50,000 lagi kepada suspek kedua sebagai upah kerana bersubahat.
Kedua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009. – SM