Sayembara tonjol bakat baru untuk Puisi Kemerdekaan ke-37
12 Julai lalu Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama dengan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) menjayakan pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-37 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bertempat di Dewan Usman Awang, Rumah PENA.
Pertandingan kali ini mempertandingkan 17 peserta yang terdiri daripada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dari pelbagai latar pengalaman dalam deklamasi puisi.
Penganjuran pada kali ini mengangkat hasil karya antologi puisi Ke Sarang Cenderawasih yang dijadikan sebagai syarat wajib untuk pemilihan sajak dalam pertandingan tersebut. Bermula sekitar jam 10 pagi pertandingan SDPK menyaksikan kepelbagaian dalam pembawaan karya pilihan peserta dan keunikan yang baru dalam deklamasi puisi. Turut dijemput bagi merasmikan majlis adalah Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail serta Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hazami Jahari sebagai tetamu jemputan khas. Pemenang diumumkan sekitar jam 1.15 petang yang juga disampaikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan tetamu jemputan khas.
Pemenang SDPK peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kali ke-37 ialah Muhammad Zamzatur Rahman Yussri yang merangkul tempat pertama yang membawa pulang wang berjumlah RM1000 berserta hadiah iringan. Menyandang gelaran tempat kedua dan ketiga ialah Amirul Aiman Helmi dan Salmiyati Md. Raud yang masing-masing turut membawa pulang wang berjumlah RM700 dan RM500 berserta hadiah iringan. Pemenang tempat pertama SDPK akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 15 September 2023 di Dewan Bankuet SUK Perak.
“Penganjuran kali ini menyaksikan karya baru, bakat deklamator baru dan cara penyampaian yang lebih segar seperti yang kami harapkan untuk SDPK peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami juga berharap agar di peringkat negeri lain juga bakat deklamator baru dapat ditonjolkan seterusnya berjaya di peringkat akhir kelak” – ujar Dr. Norzuraina Mohd. Nor, Pengarah Program
Program berakhir sekitar jam 1.30 petang dengan persembahan pemenang tempat pertama dan sesi fotografi bersama para peserta yang bertanding.
Artikle Berkaitan :>
17 Mahasiswa FBK sertai program mobiliti antarabangsa latihan mengajar antara UPSI
UPSI anjur Program UPSI Prihatin Komuniti “Quit Vaping Now” beri kesedaran bahaya ‘Vape’