Nasional

Disambar petir ketika guna earphone, pemuda Orang Asli diterbangkan ke hospital

UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerbangkan seorang pemuda Orang Asli yang dipercayai disambar petir ketika menggunakan “earphone” ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan susulan, semalam.

Mazlan Roslan, 18, disambar petir kelmarin, Ahad lalu dan kerap pengsan sejak itu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang di Selangor, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, pesakit bersama pengiring diterbangkan dari Kampung Pinchong, Pos Gob ke HGM dengan helikopter Agusta Westland 139 (AW139).

“Pesawat berlepas dari pangkalan udara pada jam 4 petang dan tiba di Kampung Pinchong pada 5.38 petang.

“Pesakit dalam keadaan sedar namun memerlukan pengusung untuk dibawa ke helikopter kerana tidak mampu berdiri dan difahamkan selepas kejadian dua hari lalu, dia kerap pengsan,” katanya.

Beliau berkata, sejurus tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada jam 5.55 petang, pesakit diserahkan kepada anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang menanti untuk dihantar ke HGM,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, penerbangan ihsan membabitkan lima anggota unit udara diketuai juruterbang, Faridullahamin Mohd Noh dan dibantu Sarifudin Ladulu itu tiba di pangkalan udara pada jam 7 malam. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button