Politik

PRN Kedah: Sanusi umum dua bekas pemain bola sepak jadi calon PN

Dua bekas pemain bola sepak Kedah dijangka menjadi pertaruhan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan tersebut walaupun tidak mendedahkan nama kedua-dua pemain namun dua bekas ketua pasukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar disebut-sebut antara calon PN pada 12 Ogos depan.

“Tuan-tuan sekalian, 12 Ogos ini undilah Perikatan Nasional untuk musim kedua perpindahan (penggal baharu).
“Kita akan ada dua profesor mewakili kita, pemain bola ada dua, ustaz dan ulama tak payah kira (banyak) serta seorang panglima yang duduk di hadapan (atas pentas ceramah) akan mengetuai senarai calon itu,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika berucap dalam program ceramah ‘Taujihat Pimpinan: Munajat perdana mohon keamanan dan menentang kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik pada malam tadi.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN memaklumkan, selain dua pemain bola sepak popular tersebut, PN Kedah juga akan mempertaruhkan dua ahli akademik bertaraf profesor sebagai calon gabungan itu sementara sebahagian besar terdiri daripada golongan agamawan dan ulama.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yakin PN tidak perlu menunggu lama untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan sekiranya menang di kesemua enam negeri dalam PRN akan datang.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim jalan merata la (sekarang) ni. Dia drebar bas (Kerajaan Perpaduan), kena bagi drebar bas tersedar sebab bas dah melilau nak jatuh gaung.

“Enam negeri PRN kena bagi PN menang untuk selamatkan rakyat atas bas. Anwar kita lempar ikut pintu kecemasan (bas), kalau PN menang PRN tak perlu tunggu lama humban mereka keluar dari Putrajaya,” ujarnya seperti mana dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Sanusi berkata, dirinya tetap kental berhadapan cabaran mahu pun serangan peribadi dan akan terus berjuang mempertahankan kebenaran.

Untuk rekod, Sanusi baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghina institusi diraja dan menghasut. – SM

BACA Isu Sanusi belum selesai titah Sultan Selangor

BACA Sanusi mengaku tak bersalah satu pertuduhan menghasut pelantikan MB

BACA Sanusi mengaku tak bersalah pertuduhan berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button