SUARA MERDEKA: Sama ada calon PH, Karmaine Sardini atau calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng, kedua-dua mereka tidak berdepan laluan mudah bagi merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai pada PRK kali ini.
Selain menentang calon Gerakan, Wendy Subramaniam, mereka juga berdepan calon Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.
Dua lagi calon Bebas adalah pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghafar menjadikan PRK Tanjung Piai pertembungan enam penjuru.
Pengumuman mereka layak bertanding dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya, Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian.
Ini adalah PRK kesembilan sejak PRU ke-14 tahun lepas ekoran kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu yang mewakili PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung..
Pada PRU ke-14 Mei, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.
Karmine, 66 adalah Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, manakala Jeck Seng pula bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal.
Gerakan, bekas parti komponen BN, mempertaruh, Wendy, 38, seorang peguam dan akauntan bertauliah yang juga Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu.
Terdahulu, perarakan penyokong parti mengiring calon masing-masing berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini dengan penyokong serta jentera BN yang turut dihadiri pemimpin dan penyokong PAS dilihat lebih bersemangat daripada penyokong PH.
Suasana meriah dapat dilihat di pusat penamaan calon tersebut dengan kibaran bendera parti masing-masing selain ebih 400 anggota dan pegawai polis ditempatkan di pusat penamaan calon serta kawasan berhampiran bagi memastikan proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi aman.
Dalam pada itu calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata beliau dan jentera parti akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan.
Sementara Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong meminta para pengundi memilih calon BN kerana ini adalah peluang untuk menghantar seorang lagi pembangkang di Parlimen bagi memantau kerajaan hari ini.
Malam tadi, bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berkata BN tidak mempunyai sebarang masalah dan dilihat tidak terjejas meskipun bakal berdepan dengan saingan pelbagai parti di Tanjung Piai, 16 November ini.