ASF perkenalkan inovasi pertanian tanpa racun
ASIA Smart Farming & Food Security (ASF 2024) sekali lagi memperkenalkan sektor pertanian pintar tanpa penggunaan racun kimia berbahaya dengan menggunakan inovasi terkini.
Ia merupakan program buat kali kedua setelah melihat kejayaan cemerlang pada tahun sebelumnya, ASF 2024 kembali dengan misi meningkatkan kesedaran global terhadap teknologi hijau dalam menangani cabaran pemanasan global dan keterjaminan makanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech, RM Ravichandar, ASF telah menjadi platform penting bagi perniagaan tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan teknik pertanian moden dan mampan.
“ASF 2024 bukan sekadar pameran, tetapi juga ruang untuk memperkenalkan teknologi terkini yang mampu meningkatkan produktiviti dan meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar,” katanya.
Antara teknologi yang menjadi tumpuan termasuk Integrated Pest Management (IPM) dan NoSelf “As Nature Does” (NoSelf AND), solusi inovatif yang berupaya mengawal serangga perosak tanpa penggunaan racun kimia.
Peranan Penting ESG dan Teknologi Hijau
ASF 2024 juga menonjolkan elemen Environmental, Social, and Governance (ESG) sebagai asas pertanian masa depan. Pameran ini bakal memaparkan inovasi seperti Sel DNA dan teknologi IPM yang bukan sahaja mesra alam, tetapi juga menjimatkan kos operasi bagi petani.
“Pembangunan kemahiran adalah elemen kritikal untuk memajukan industri ini. Melalui program latihan selepas ASF 2024, petani akan dibekalkan dengan alat dan pengetahuan untuk mengadaptasi teknologi baru serta meningkatkan kecekapan dan produktiviti,” ujar RM Ravichandar.
Platform Perkongsian Global
ASF 2024 telah menghimpunkan delegasi dan penceramah dari 26 negara termasuk Belanda, Itali, Sepanyol, China, Jepun, dan Malaysia. Acara ini dijangka menjadi pusat sehenti bagi petani, pakar industri, penyelidik, pelabur, dan usahawan untuk berkongsi pengetahuan serta membina rangkaian kerjasama baharu.
Dengan tema “Pesticide-Free Farming for a Healthier Nation”, ASF 2024 diyakini akan menarik pelbagai lapisan masyarakat yang berminat dalam inovasi pertanian lestari. Pelancaran produk-produk baharu juga dijangka mengubah landskap pertanian dunia ke arah lebih sihat dan mampan.
Pameran ini dirasmikan oleh Pengerusi MTDC, YBhg. Tan Sri Abdul Rahman Mamat, sebagai simbol komitmen Malaysia dalam menerajui transformasi sektor pertanian pintar di peringkat antarabangsa
Acara ini dianjurkan oleh ABS Greentech Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), serta sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.
ASF 2024 menyaksikan penglibatan syarikat-syarikat gergasi dunia dan tempatan berkongsi teknologi dalam bidang pertanian antaranya Western Power (China), INOFRIENDS (Korea Selatan), IFFCONanoventions Private Limited (India), UPL Global (India), AND Biologicals (Belanda), Lentiz Education Group (Belanda) dan Tropical Agrosystem (India) Pvt Ltd. Syarikat Malaysia yang menyertai adalah Adastra IP (M) Sdn. Bhd., ARISE Consulting, ViTrox Agritech, Vigor Agribiotech Solutions, Picasynergy Holdings (M) Sdn Bhd, Pesticide Action Network Asia Pacific (PANAP), Global Psytech, Ken Microbes dan Aerodyne Group (Malaysia).
Dalam pada itu, ASF 2024 turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Malaysia Productivity Corporation (MPC), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), Agrobank Malaysia, Langkawi Development Authority (LADA), Persatuan Promosi Ekonomi dan Perdagangan Borneo Malaysia, Asia-Africa Chamber of Commerce (AACCI) Kenya Chapter, Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan Universiti Sains Malaysia. ASF 2024 turut menarik graduan-graduan pertanian dari universiti seluruh Malaysia termasuklah UPM yang menghantar 100 orang pelajarnya.
Acara ASF 2024 telah berlangsung selama tiga hari bermula 26 November sehingga 28 November 2024 di Dewan Bankuet (Banquet Hall), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.