MahkamahNasionalNegeri

Nelayan, pemandu bas dihadap ke mahkamah pukul anjing

DUA lelaki didakwa melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas satu video menunjukkan seekor anjing dipukul dengan kayu, tular baru-baru ini.

Tertuduh, seorang nelayan, Rosli Mat Zain, 53, dan pemandu bas, Suhaili Haron, 49, didakwa melakukan kesalahan itu di longkang Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang pada jam 8.30 malam 8 Julai lalu.

Polis membawa bersama kayu didakwa digunakan tertuduh untuk mendera anjing itu ke mahkamah sebagai bukti.

Tuduhan menyeksa haiwan dilakukan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan apabila tindakan jenayah dilakukan beberapa orang dengan niat bersama, mereka bertanggungjawab atas tindakan itu mengikut cara sama seperti perbuatan itu dilakukan bersendirian.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jim Hong meminta jumlah tinggi ikat jamin bagi memastikan kedua-dua tertuduh hadir di mahkamah.

Hakim Khalid Ab Karim membenarkan ikat jamin RM1,000 dan seorang penjamin masing-masing, serta Rosli dan Suhaili perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 16 Ogos ini.

Rosli dan Suhaili tidak diwakili peguam. – SUMBER FMT – SM

BACA Polis selamatkan anak anjing yang jatuh

BACA Anjing diracun di Pantai Cherating

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button