Analisis

Penyatuan Islam impian sekian lama Hadi Awang

APABILA saya terbaca berita Lim Lip Eng mendakwa bahawa hubungan Pas dan Dap menjadi hambar apabila Hadi Awang mengambil-alih Pas, saya tidak terkejut.

Kisah itu terus membawa saya mengembara beberapa siri peristiwa yang berkaitan situasi berkenaan.

Pernah ketika saya menjadi wartawan Utusan Malaysia, saya ditugaskan mewawancara Hadi di ibu pejabat Pas. Ketika itu Ketua Umum Pas ialah Nik Aziz Nik Mat.

Wawancara itu begitu lama dahulu dan panjang hingga saya tidak ingat butirannya.

Yang saya ingat, sebelum saya dan kru hendak bangun selepas selesai interview itu Hadi menunding jari ke arah bangunan PWTC yang menjadi ibu pejabat Umno dan berkata: “Alangkah baik dibina jambatan penghubung”.

Bermakna Hadi sudah lama mengimpikan Pas dan Umno bersatu kerana kedua-dua buah parti itu mewakili kelompok terbesar umat Islam di negara ini.

Mengimbau lebih jauh saya teringat Hadi pernah mengadakan jelajah seluruh negara bagi menggerakkan usaha menyatukan umat Islam.

Dalam perjumpaan tertutup yang saya tidak sengaja termasuk. Berpunca saya berjumpa bekas kakitangan Utusan yang bekerja dengan Harakah.

Dia mengajak saya masuk ke dalam bilik mesyuarat bersama-samanya. Saya fikir hanya saya seorang wartawan dari akhbar arus perdana yang datang membuat liputan pertemuan Hadi dengan Mufti Perak, Harussani Zakaria.

Saya terdengar butir perbincangan itu adalah bagi menyatu-padukan umat Islam.

Saya fikirkan ia perkara biasa apabila pemimpin Islam bertemu tentulah akan menyentuh soal perpaduan umat Islam.

Apabila keluar dari bilik mesyuarat tiba-tiba saya diserbu oleh rakan-rakan wartawan yang lain dan bertanyakan bagaimana saya boleh masuk perjumpaan tertutup.

Biasalah wartawan. Kami sering risau jika terlepas sesuatu berita atau scoop. Oleh kerana perjumpaan tertutup saya memutuskan untuk tidak menulis secara detail kandungannya dan juga supaya adil kepada rakan wartawan yang lain.

Pertelagahan Pas dan Umno paling kuat di zaman Dr. Mahathir Mohamad dan Nik Aziz.

Jadi apabila kedua-dua pemimpin itu tiada dalam radar politik, Hadi mula menjalinkan hubungan dengan Umno yang ketika itu diketuai oleh Najib Razak.

Sehinggalah Umno kalah pada 2018, Hadi mengambil langkah berbaik dengan Umno dan Bersatu di bawah Muafakat Nasional. Dan akhirnya terbentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun Zahid Hamidi yang mempunyai agenda peribadi mahu membebaskan tuduhan kes mahkamah beliau dan melaksanakan jajaran baharu yang mensabotaj usaha itu.

Maka lengkaplah pengkhianatan itu apabila Umno kini bersekongkol dengan Dap, sedangkan jika parti itu kekal dalam Perikatan Nasional ia mampu membentuk kerajaan yang kuat.

Zahid hanya mengambil kira nombor yang dibawa oleh Dap dan sokongan kaum Cina dibawa oleh parti liberal sosialis itu.

Dia cuba menafikan penolakan orang Melayu terhadap langkah itu, kerana mereka sedar siapa Dap. Sejak sekian lama pemimpinnya sering melukakan hati orang Melayu.

Zahid cuba menyamakan ketika Gerakan menyertai Barisan Nasional. Itu jauh sekali bezanya.

Gerakan masuk Barisan Nasional yang menjadikan matlamat perjuangan mereka adalah sama.

Dap lain. Mereka parti kaum Cina yang dominan dan tidak berada di dalam Barisan Nasional sebaliknya hanya dalam kacukan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional.

Dap tidak pernah mengubah dasar parti dan perjuangannya. Hanya kaedah sahaja diubah. Sama juga ketika komunis mengubah kaedah dari perang gerila di dalam hutan kepada perang doktrin di dalam bandar. Matlamat tetap sama.

Enam bulan sudah semakin jelas dilihat. Gulai babi sudah ura-ura dijadikan makanan tradisi kebangsaan. Sedangkan Malaysia sebuah negara Islam.

Pemimpin Umno terus menjadi syaitan bisu. Mana mungkin sebuah negara Islam makanan tradisinya ialah gulai babi.

Jadi keputusan Pas menjauhkan diri dari Dap memang tepat sekali. Jika tidak mereka juga akan menjadi syaitan bisu dan lumpuh seperti Umno.

Bayangkan soal paling sensitif berkaitan halal dan haram pun Umno membisu, apatah lagi soal lain termasuk hak kesamarataan bukan Melayu, sudah pasti Umno tidak akan membantah.

Jangan terkejut selepas ini Umno yang menjadi jaguh isu ini atas dasar hak asasi manusia.

Oleh itu Hadi membuat percaturan yang tepat. Lihatlah gelombang hijau sudah mengatasi gelombang biru. Pilihan raya negeri Umno akan dikuburkan di enam buah negeri.

Gunalah apa jua muslihat, apabila kebangkitan rakyat berlaku ia tidak mampu ditahan oleh Zahid atau Lip Eng.

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button