NasionalNegeriPendidikan

Pameran “Japan Traditional Dolls” di PTSFP UniMAP 2-30 Jun

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Pameran “Japan Traditional Dolls” di “International Corner” Galeri 1001, Aras 2, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Alam, UniMAP Pauh Putra.

Pameran dari 2 hingga 30 Jun ini adalah anjuran Bahagian Galeri PTSFP dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor berkenan singgah ke pameran tersebut ketika berangkat merasmikan ‘Hub Komuniti @ Perpustakaan PTSFP UniMAP baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Ir Ts Zaliman Sauli dan wakil daripada Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Liew Bee Lan.

Pameran yang dibuka kepada semua pengunjung di Universiti berkenaan dan juga komuniti luar mulai pukul 8.30 pagi hingga 5 petang ini bertujuan untuk memperkenalkan satu lagi nilai seni serta budaya Jepun dan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian seni tradisional negara matahari terbit berkenaan.

Antara yang dipamerkan adalah Kyugetsu, Hakata dan Kokeshi.

Turut dipersembahkan adalah replika makanan tradisional utama Jepun seperti Sushi, Tempura, Bento, Soba, Oden, dan juga hidangan mewah seperti Cendawan Matsutake.

Hagoita ataupun Raket Hanetsuki yang merupakan permainan tradisional Jepun juga merupakan salah satu perhatian utama para pengunjung sewaktu pameran ini berlangsung.

Terdahulu daripada itu Pemangku Raja bertitah, dalam konteks global, perpustakaan di seluruh dunia memfokuskan kepada inisiatif pemerkasaan peranannya kepada komuniti dan pemegang taruh yang lebih luas.

Titah Baginda, inisiatif perpustakaan sebagai hub komuniti tidak terbatas kepada perpustakaan awam sahaja, malah untuk memperkasa peranan sebagai hub komuniti sesuai dengan sumber kepakaran, bidang pengajian, kecanggihan teknologi dan perkhidmatan ditawarkan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut memetik kata-kata R. David Lankes, “Bad libraries build collections, good libraries build services, great libraries build communities”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button