NegeriTravel

Gua, pantai, sawah antara puluhan “port mengopi” di Perlis

SEKIAN lama terkenal dengan laksa, kini di Perlis muncul dengan puluhan “port mengopi” termasuk di dalam gua, persisiran pantai, tepian sawah sebagai daya tarikan kepada peminat kopi.

Jumlahnya juga sudah tidak terbilang kerana “port mengopi” berkembang bagai cendawan lepas hujan iaitu daripada pekan, bandar sehinggalah ke ceruk kampung.

Rumah tradisional Melayu juga menjadi “port mengopi” yang menarik. – Gambar Ihsan FB Rumah Kupi.

Lebih menarik kopi juga boleh dinikmati bukan saja di dalam premis berhawa dingin tetapi menikmatinya sambil menghayati keindahan alam semula jadi seperti di persisiran pantai, tepian sungai atau sawah mahupun di dalam gua.

Ada yang menyediakan lokasi mengopi di dalam rumah Melayu tradisional, taman bunga mahupun kebun harumanis yang menjadi mangga ikon negeri Perlis.

Maka terletak pada peminat kopi hendak menikmati kopi di warung atau premis bertaraf antarabangsa kerana semuanya ada di Perlis.

Kebun harumanis juga menjadi “port mengopi”. – Gambar Ihsan FB Bahanizan Baharin II

Tinjauan Suara Merdeka juga mendapati setakat ini terdapat kira-kira 70 perniagaan yang berasaskan kopi di Perlis.

Bagaimanapun setiap peniaga tampil dengan cara tersendiri untuk memikat hati penggemar kopi.

Antara yang menarik sebagai “port mengopi” adalah cafe Kupi Kahpi yang terletak di Bukit Tau Adventure Park di Beseri.

Suhair (berdiri kanan) memilih Gua Tau di Beseri sebagai “port mengopi”.

Pemiliknya, Suhair Yaacob, 49, berkata, dia mengusahakan perniagaan kopi ini di tanah pusaka yang kebetulan ada sebuah gua.

“Gua kecil ini menjadi ilham untuk saya jadikan sebagai “port mengopi”, kata Suhair yang kembali ke Perlis setelah lama merantau.

Katanya, sekalipun beberapa bulan beroperasi, cafe itu menerima kehadiran sehingga 100 pengunjung dalam sehari.

Pemilik County’s Kopi yang diusahakan pasangan Fahmi Che Khosni, 38, dan Nurul Asyikin Mokhtar Kamal, 31, pula menggunakan van bagi menjalankan perniagaan ini.

Lokasinya di persisiran Pantai Kurong Tengar, Kuala Perlis pada sebelah petang bagi membolehkan peminat kopi menikmati keenakan minuman ini sambil menyaksikan matahari terbenam.

Malah County’s Kopi juga beroperasi di Warung Harumanis Hutan Temin, Mata Ayer pada sebelah pagi yang terletak di dalam kebun harumanis.

Justeru itu, peminat kopi boleh memilih mana-mana tempat yang sesuai dijadikan sebagai “port mengopi”. – SM

BACA Pasca Covid19: Pemangku Raja bersyukur prestasi ekonomi Perlis positif

PENTING

1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;

2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button