Nasionalpilihan

Rogol anak tiri, lelaki dihukum penjara 263 tahun, 20 sebatan

Gara-gara merogol, lakukan amang seksual dan seks menggunakan objek ke atas anak tirinya berusia 16 tahun, seorang bapa tiri dijatuhi hukuman penjara 263 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Tertuduh berusia 36 tahun berasal dari Sabah membuat pengakuan bersalah dalam dua prosiding di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 35 tahun apabila hukuman diarahkan berjalan serentak secara berperingkat mengikut pertuduhan.

Dalam kedua-dua prosiding, tertuduh mengaku bersalah atas kesemua 32 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Dia juga turut mengaku salah melakukan 12 perbuatan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK.

Lelaki itu melakukan perbuatan tersebut sejak tiga tahun lalu terhadap seorang remaja yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 di sebuah rumah di Taman Maju, Jasin, Melaka.

Seksyen 376 (1) KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

Manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK pula jika, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin, N. Sivashangari dan Muhamad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan ke atas anak tirinya mengakibatkan remaja itu mengalami trauma dan mengalami kebimbangan melampau akibat perbuatannya.

Mangsa mengakui perisitiwa hitam menjadi pemuas nafsu bapa tirinya dilalui hampir setiap hari sejak Januari 2020 ketika berusia 13 tahun membuatkannya berasa perit dan jijik pada diri sendiri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan ditemani isteri dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai anak yang masih kecil, isteri pula tidak bekerja selain perlu menjaga ayahnya yang sedang sakit.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman 263 tahun penjara dan 20 sebatan bagi semua 32 pertuduhan dijalankan serentak dan menjadikan tempoh penjara selama 35 tahun. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button