Ekonomi

Southern Cable dapat kontrak TNB bernilai RM90 juta

Unit milik penuh Southern Cable Group Bhd.,Southern Cable Sdn. Bhd. telah memperoleh kontrak RM90.4 juta untuk membekalkan kabel bawah tanah dan konduktor kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kabel dan wayar itu berkata, perjanjian itu menyusuli kontrak tambahan lebih RM30 juta yang diperoleh pada April 2023, meningkatkan jumlah nilai kontrak kumpulan daripada TNB kepada RM422.5 juta daripada RM332.1 juta sebelumnya.

Pengarah Urusannya, Tung Eng Hai berkata, kontrak itu mengukuhkan lagi pandangan positifnya terhadap permintaan kabel dan wayar bagi menyokong keperluan infrastruktur kuasa Malaysia, dan menunjukkan  kepercayaan TNB terhadap syarikat itu.

“Dengan rekod prestasi kami yang telah lama wujud untuk berkhidmat kepada syarikat utiliti kuasa negara, kami optimis untuk memperoleh lebih banyak pencapaian untuk memacu pertumbuhan kami sambil menyokong pembangunan infrastruktur Malaysia,” katanya.

Southern Cable berkata, jualan kabel kuasa dan wayar biasanya merangkumi lebih daripada 80 peratus daripada hasil tahunan kumpulan.

Tempahan semasa dalam tangan bernilai RM692.7 juta yang akan dipenuhi menjelang 2024. Selain kabel dan wayar kuasa, ia juga termasuk produk dan perkhidmatan berkaitan, seperti rod aluminium, dan pembekalan dan pemasangan sistem penerus untuk rangkaian 5G, kata kenyataan itu.

Dari tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 hingga 2022, jualan kabel dan wayar kuasa melonjak daripada RM458.4 juta kepada RM749 juta, memberikan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 27.8 peratus, kata kenyataan itu.

Selain TNB, kumpulan itu juga membekalkan kepada pembekal utiliti lain seperti Sabah Electricity Sdn Bhd dan Sarawak Energy Bhd. – SM

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button