MAJLIS Perbandaran Kangar (MPK) melaksanakan sistem parkir tanpa tunai secara sepenuhnya berkuatkuasa mulai hari ini (1 Mei) di kawasan Arked Niaga dan Gapura Square di Padang Besar.
Yang Dipertuanya, Norazlan Yahaya berkata, sekaligus pembayaran secara tunai ditamatkan.
Beliau berkata, pembayaran parkir di peringkat awal ini adalah menggunakan kad touch n go, kad debit, kad kredit, kad pengenalan (fungsi touch n go), e-wallet touch n go.
“Kesesuaian untuk menggunakan kaedah sistem kamera pengecaman nombor plat (licence plate recognition) sedang dikaji dan akan dilaksanakan jika sesuai,” katanya.
Norazlan berkata, pada peringkat awal, bayaran parkir masih sama iaitu RM3 sekali masuk (per entry) tetapi mungkin akan dinaikkan sedikit pada masa hadapan.
Beliau berkata, masalah berkaitan kupon tidak timbul kerana selama ini kawasan Arked Niaga dan Gapura Square di Padang Besar menggunakan kaedah tiket “per entry” secara manual.
Norazlan berkata, penduduk yang tinggal di rumah kedai pula akan diberikan pelekat kereta bagi kemudahan parkir manakala pekerja yang bekerja di situ akan dapat bayaran lebih rendah daripada orang awam.
Katanya, setakat ini terdapat 374 lot parkir di Arked Niaga dan Gapura Square di Padang Besar.
Sementara itu, dalam tinjauan Suara Merdeka mendapati lebih 100 penduduk dan juga pekerja di Gapura Square, Padang Besar melahirkan rasa tidak puas hati dengan sistem parkir baharu MPK ini.
“Sekalipun dijanjikan dengan pelekat kereta tetapi dengan sistem baru secara berpalang automatik memang tidak sesuai,” kata salah seorang penduduk.
Salah seorang pekerja yang ditemui juga menyifatkan kalau diberikan harga rendah itu biarlah berpatutan kerana jika tidak ia dianggap sebagai masih membebankan terutama yang kerap keluar masuk ke tempat kerja setiap hari.
Sementara itu, Ahli MPK Dewan Undangan (DUN) Titi Tinggi, Fang Chee Fong mencadangkan supaya MPK memberikan kad bagi setiap rumah.
“Sebaiknya setiap rumah diberikan dua kad untk kemudahan keluar masuk bagi yang ramai penghuni,” katanya.
Chee Fong berkata, penggunaan pelekat kereta tidak sesuai kerana tiada pekerja di pondok berpalang yang menggunakan sistem baharu ini. – SM