Luar Negara

Semua rakyat Malaysia di Kompleks PETRONAS Khartoum selamat dipindahkan

RAKYAT Malaysia yang berada di Kompleks PETRONAS Khartoum yang menjadi sasaran telah berjaya dipindahkan ke tempat yang selamat lewat petang semalam (waktu Sudan).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pasukan Khas yang bekerja sepanjang masa memantau usaha pemindahan tersebut.

Konflik di Sudan: 29 rakyat Malaysia selamat

“Berikutan dengan situasi yang semakin meruncing dan susulan kepada laporan berkenaan “pengambilan paksa” (take command by force) Kompleks PETRONAS di Sudan yang juga menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, saya telah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar Negeri untuk memanggil Duta Besar Sudan bagi menyuarakan pandangan Malaysia dalam konflik terbaharu. Selain itu, Malaysia juga menyampaikan bantahan ke atas tindakan pihak- pihak tertentu yang telah menceroboh kompleks berkenaan.

“Dalam pertemuan berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) telah menekankan keutamaan untuk kesemua pihak di Sudan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan dipelihara. Ia adalah konflik dalaman dan kepentingan warganegara asing tidak harus menjadi sasaran pihak- pihak yang bertelagah,” katanya.

Malaysia, kata beliau, sedang mengambil langkah untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama pihak Sudan bagi menjamin kelancaran usaha ini.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa krisis di Sudan turut memberi kesan kepada semua pejabat kedutaan asing. Terdapat laporan serangan yang dilakukan ke atas Duta Besar Kesatuan Eropah ke Sudan, rakyat Jepun dikasari, kenderaan Diplomatik Amerika Syarikat ditembak dan kediaman rasmi Duta Besar Kuwait ke Sudan diceroboh.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) yang telah mengarahkan semua masjid membuat solat hajat ke atas kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda Tuanku. Diharapkan dengan doa daripada kesemua rakyat Malaysia, usaha kita membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan akan dipermudahkan-Nya.

“Sekali lagi, saya ingin menekankan, keselamatan kesemua rakyat Malaysia di Sudan adalah keutamaan Kerajaan. YAB Perdana Menteri telah memutuskan kesemua mereka akan dibawa keluar dari Sudan jika keselamatan mereka terancam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagi tujuan ini, ujar Zambry, Pasukan Khas yang diketuai oleh KLN telah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang 32 rakyat Malaysia berdasarkan data terkini yang dikongsikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

Kata beliau, ia akan dilaksanakan bersama negara-negara sahabat serta merta sebaik sahaja ada peluang berbuat demikian. Walau bagaimanapun, keadaan semasa masih belum mengizinkan proses evakuasi dilakukan kerana pertempuran masih memuncak.

“Saya memohon kerjasama semua, andai ada lagi ahli keluarga yang berada di Sudan tetapi masih tidak menyatakan keberadaan mereka atas kekangan jalinan komunikasi untuk segera berbuat demikian. Ini penting bagi perancangan evakuasi kelak. Berdasarkan keadaan semasa, jika terdapat window of opportunity, jangkaan masa yang diberikan mungkin amat terhad,” katanya.

Kata beliau, sememangnya, amat penting bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negeri untuk sentiasa menghubungi Pejabat Perwakilan kita bagi mengemas kini data keberadaan. Ini akan membantu Kerajaan dalam menggembeling tenaga dan sumber dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia khususnya dalam keadaan genting seperti yang sedang berlaku di Sudan. – SM 

Artikel berkaitan > Konflik di Sudan: 29 rakyat Malaysia selamat

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button