Ekonomi

Jangkakan pengurangan pembayaran dividen KWSP berbanding tahun lepas

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka menerima pengurangan dividen yang ketara berbanding kadar tahun lalu iaitu 6.1 peratus untuk akaun konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah.

Sumber yang biasa dengan perkara itu berkata dividen untuk simpanan konvensional dijangka berkisar antara 4.8 hingga 5.1 peratus, manakala simpanan syariah boleh antara empat dan 4.5 peratus.

Sumber itu berkata KWSP dijadualkan membuat pengumuman rasmi hari ini, tanpa sebarang perubahan yang tidak dijangka.

“Bagaimanapun, kadar itu pastinya jauh lebih baik daripada faedah bank komersial untuk simpanan tetap. Dalam keadaan itu, ia sepatutnya boleh diterima, terutamanya mereka yang mempunyai simpanan tinggi dalam akaun mereka,” kata sumber itu kepada FMT.

Sumber itu menambah bahawa walaupun kadar telah menurun dengan ketara, ia merupakan hasil yang paling optimum yang boleh dicapai oleh dana memandangkan prestasi pasaran kewangan seluruh dunia sepanjang beberapa tahun lalu.

Pembayaran dividen KWSP untuk simpanan konvensional adalah dalam julat daripada paras rendah 5.2 peratus (2020) hingga tinggi 6.9 peratus (2017) sepanjang dekad lalu.

Bulan lalu, pakar ekonomi Profesor Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway memberitahu FMT bahawa kebanyakan dana antarabangsa, termasuk KWSP, dijangka mencatatkan kerugian atau melaporkan prestasi buruk untuk 2022 disebabkan oleh kenaikan kadar faedah yang telah menjejaskan pasaran modal tahun lepas.

Beliau berkata sebahagian besar portfolio KWSP adalah dalam sekuriti pendapatan tetap dan saham asing, yang memberi kesan besar kepada keuntungannya. -SM

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button