Pewaris UPSI anjur Program Tadabbur Alam bersama orang asli Tasik Banding
ORANG Asli yang menjadi aset penting kepada biodiversiti mendorong Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (PEWARIS) mengambil inisiatif menganjurkan Program Taddabur Alam bersama Orang Asli di sekitar Tasik Banding, Perak baru-baru ini.
Penaung PEWARIS, Pazilah Yahaya berkata selain menikmati keindahan alam semulajadi yang tidak tercemar, persatuan itu juga menyampaikan sumbangan pakaian dan keperluan harian kepada penduduk Kampung Charok Bus.
“Pada masa yang sama, kami mengadakan pertandingan mewarna bersama anak-anak Orang Asli yang dikendalikan oleh Marina Awang Ahmad yang bertindak sebagai Ketua Pemudahcara serta demonstrasi menyumpit oleh Tok Batin.
Program sehari berkenaan, katanya, dijayakan seramai 25 ahli PEWARIS bersama 40 orang Asli yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Setiausaha program, Noranjane Mohd Abd Rahman berkata objektif program adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim dengan penduduk asal di Perkampungan Charok Bus.
“Di samping itu ahli PEWARIS dapat menghayati dengan lebih dekat kehidupan mereka, mendengar sendiri pemasalahan yang dihadapi olah masyarakat di sana serta memberikan sumbangan pakaian dan makanan.
Ketua Urusetia Program, Robe’ah Yusuf berharap aktiviti sebegini mampu memberi kesedaran kepada ahli PEWARIS tentang Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian kaum.
“Ia juga menjadi medan dialog peradaban berasaskan kerangka Malaysia yakni menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.
Melalui lawatan ini juga, katanya, PEWARIS dapat mengenal pasti kehendak dan keperluan kaum wanita dan kanak-kanak di kawasan berkenaan dengan kerjasama Tok Batin serta pemandu pelancong yang bertugas. -SM