Luar Negara

“Wartawan” Pakistan, Syed Fawad dalam penjara bawah tanah di Pakistan

MASIH ingatkah lagi kisah seorang wartawan warga Pakistan, Syed Fawad Ali Shah yang hilang tanpa jejak di Malaysia.

FMT melaporkan kisah terbaharu, dia ditemui ditahan dalam penjara di negara asalnya sekali gus menamatkan pencarian selama enam bulan oleh isterinya.

Peguam Malaysia, P Waytha Moorthy yang memberi kenyataan kepada FMT hari ini berkata, lokasi Fawad, 41, diketahui selepas pihak berkuasa Pakistan menghubungi keluarganya untuk mengesahkan dia masih hidup.

Fawad yang sebelum ini berada dalam buangan lebih 10 tahun di Kuala Lumpur tidak dapat dikesan sejak Ogos lalu.

Dia menulis artikel yang mengkritik kerajaan Pakistan dari sini.

“Selama ini mereka (pihak berkuasa Pakistan) menafikan Fawad berada di Pakistan. Buat pertama kali, mereka mendedahkan di mana dia berada, di penjara Adiala,” kata Waytha kepada FMT.

Menurut beliau, Fawad dibawa dari lokasi yang tidak didedahkan ke penjara hanya dua hari sebelum itu.

“Kami percaya kemunculannya adalah disebabkan tindakan kami memfailkan habeas corpus di sini,” katanya.

Isteri Fawad, Syeda, mencarinya di Kuala Lumpur selama lebih dua bulan dengan pihak berkuasa Malaysia pada mulanya mendakwa mereka tidak tahu apa-apa.

Selepas usahanya tidak membuahkan hasil di sini, Syeda kembali ke Pakistan di mana pihak berkuasa juga mendakwa tidak mengetahui di manakah Fawad berada.

Pihak berkuasa Malaysia kemudian mendedahkan Fawad dihantar pulang ke Pakistan mengikut saluran diplomatik kononnya kerana dia dikehendaki atas isu disiplin semasa menjadi anggota polis.

Syeda bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, suaminya tidak pernah menjadi anggota polis.

Menurut Waytha, Fawad memberitahu Syeda sekembalinya ke Pakistan, dia ditempatkan dalam sel bawah tanah yang gelap di mana dia didakwa diseksa.

Fawad membuat dakwaan itu ketika Syeda melawatnya di penjara, kira-kira 300km dari kampung halaman mereka.

Syeda dimaklumkan tentang lokasi suaminya oleh seorang pegawai kerajaan Pakistan, dakwa Waytha dan dilaporkan oleh FMT.

“Fawad memberitahu Syeda bahawa dia ‘diculik’ oleh perkhidmatan rahsia Pakistan,” kata Waytha.

“Katanya, dia dibawa dengan pengusung ke lapangan terbang dan menaiki penerbangan Pakistan International Airlines tanpa sebarang dokumen perjalanan.

“Dia ditahan di bilik gelap bawah tanah sejak 26 Ogos dan hanya bertemu isterinya pada 8 Februari,” ujar Waytha.

Waytha berkata, Syeda menemui kesan lebam di muka Fawad. Dia juga kelihatan menghidap penyakit kulit, mungkin kerana kurang terdedah kepada cahaya matahari.

“Fawad nampaknya mengalami masalah psikiatri kerana dia asyik mengulangi kata-katanya dan takut nyawanya terancam. Isterinya berkata, ini mungkin kerana dia ditempatkan di dalam sel bilik gelap,” katanya.

Fawad juga memberitahu isterinya, dia mungkin diperangkap untuk kesalahan lain jika cuba melawan penahanannya, kata Waytha, yang juga  Ketua Parti Kemajuan Malaysia. – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button